Friday, January 6, 2017

Pameran Solo : Rat Heist | Sick My Duck II The Flying Circus


Pameran Solo : Rat Heist | Sick My Duck II The Flying Circus dalam satu perspektif separa nostalgik, juga dengan imajan propaganda sosial realis dalam bentuk yang lebih dominan diantara memori ruang individual dan dalam masa yang sama menyentuh hal-hal berkaitan kepentingan kelas-kelas pemerintah dan rakyat. Melihat dan merakam bagaimana kumpulan minoriti menyatakan rasa tidak bersetuju dalam posisi yang sudah tersedia ada, diantara rasa–dikecam-menolak-atau dipersoalkan. 

Eksplorasi seni oleh Rat dari grafiti ke seni arca dan kini terus kanvas adalah  seiring dengan idelogi dan musik  punk  yang menjadi inspirasi beliau dalam berkarya. Didalam ruangan karya seni kritikan sosial  yang berkisar  isu-isu subbudaya perihal kaum kelas-kelas masyarakat yang masih wujud, impak sosio ekonomi selain dari hanya sekadar makna musik  bingit dan chaos.

‘Pada zaman 70-an Penyataan dan kepercayaan ‘seni untuk seni’ yang dinyatakan oleh pengkarya pop telah mengakhiri dan menggantikan kepercayaan muzik zaman 50-an dan hasil daripada pertembungan budaya perlawanan dizaman 60an.
Patti Smith mengambil pandangan ini dengan satu langkah lebih lanjut; dalam melihat  musik rock sebagai satu bentuk seni yang menggantikan puisi, lukisan dan arca dan beliau menafikan seperti yang dinyatakan oleh Andy Warhol; seni adalah hanya satu bentuk perniagaan, malah ekspresi  muzik adalah satu  luahan yang  lebih bersifat communal/komuniti dan spiritual rohani .’
Rock my religion, dan graham,video art, 1984

Penyataan diatas adalah dari karya Dan Graham iaitu  adalah diantara pengkarya seni visual yang terawal yang melihat bagaimana pengaruh  music punk dan seni visual pada zaman 70an. ‘Rock my religion’ banyak menjelaskan tentang bagaimana musik punk bukan sekadar satu hiburan tetapi ianya menjadikan satu kepercayaan dan pengaruh kumpulan-kumpulan masyarakat yang merubah perspektif politik semasa dengan memberi ruang berekspresi kepada golongan muda dan kaum buruh. 

Separa ceritera | separa cinta

Sit On My Face (Ode to Ros Cirda)
acrylic on MDF board 
66 x 43 cm
2016




photo credit: Rat heist(artist) &Run Amok Gallery
Garisan dan warna atas kanvas menjadi senjata menolak lupa. Dalam melihat kerja akhir karya yang akan bergantung di dinding, saya lebih selesa dalam berkongsi tentang proses berkarya dan setiap titik kerja yang menjadikan ianya tampak sempurna. Menjadi pengkarya seni juga bukan sahaja menjaja gula-gula untuk merasa segalanya sempurna dan selesa. Pengkarya seharusnya jujur dalam merespon isu semasa dan bagaimana hal ini boleh berinteraksi melalui medium seni. 

Dengan secawan kopi, ceritera ini bermula…
Saya berpeluang dalam melawat ruang kerja Rat dimana karya-karya ini dihasilkan. Jangkaan yang mana saya mungkin dapat melihat kanvas-kanvas berwarna bergantung dan ruang studio yang selesa. Dan hal ini tidak terjadi sama sekali. Tetapi apa yang saya jumpai adalah satu ruang kerja yang sempit, sendat dalam satu  ruang kerja dan bilik personal. Ruang ini sebenarnya yang benar-benar memberi inspirasi dalam pameran kali ini. Ruang yang menjadi cerminan diluar sana. Saya mempersoalkan kembali kepada hal-hal pengkarya menghasilkan karya. Adakah pengkarya kini sudah keluar diruang selesa untuk mencari inspirasi dalam berkarya? Dan bagaimana pengkarya berhubungan dengan pengalaman dan kefahaman sendiri dalam berkarya melalui persepsi hal-hal yang lebih bersifat minoriti ? Termasuklah  dari hal-hal yang masyarakat atau pemerintah terlepas pandang ataupun cerminan pandangan individual dalam skop yang lebih umum ? Adakah kita benar-benar mempraktiskan dan meraikan hak kebebasan dalam berkarya dan bersuara dalam sistem yang kita diami sekarang?

Pameran solo Rat Heist | Sick My Duck II : The flying circus  kali ini, menyentuh pelbagai isu yang difahami dengan cara dan imajan yang lebih rapat dan familiar yang mana kadangkala kita terlepas pandang untuk meletakkan makna. Menyingkap persoalan bagaimana posisi diri yang diletakkan  adalah berkisar di ruang dan waktu yang berbeza.  

Perbualan dengan secawan kopi petang itu menyingkap dari satu hal yang lebih umum dan kadangkala ianya lebih intimasi. Dari persoalan saya tentang musik punk dan ideologi , berlangsung kepada pandangan Rat tentang pemilihan imej dalam berkarya,  menyingkap semula tahun-tahun sebelum Rat mulai kerkarya dan secara perlahan-lahan tentang Rat dan hubungan keluarga terutamanya kejauhan Ros Cirda. Inspirasi dan ide dalam pameran kali ini, dilihat sebagai satu eksplorasi memori dalam ruang individu dan bagaimana pengkarya merespon kepada sosial kritik tempatan yang lebih besar dalam susunan pengalaman personal.  

Bermula dengan karya ‘Pagliacci first joke’ dengan imajan karakter superhero dan watak utama dari komik Watchmen dengan perletakkan warna yang lebih contrast dibelakang dan  satu imej figura espressi  yang tragic di ruang hadapan. Dengan tajuk ‘Pagliacci first joke’ yang mengingatkan kembali kepada humor dari komik –The clown (Pagliacci)1998, tetapi karakter yang diterjemahkan adalah masih disekitar ruang memori pengkarya yang sedang berlangsung.  

Pagliacci First Joke
acrylic on canvas
91 x 91 cm
2016



photo credit: Rat heist(artist) & Run Amok Gallery


Malah dalam penggunaan komik dan unsur humor dalam perletakkan imej berkarya, mengingatkan kembali sebagaimana penyata pengkarya  Lichtenstein pada 1963 – 
‘Watak hero yang digambarkan di dalam komik adalah unsur watak fasis yang tidak pernah saya ambil serius dalam berkarya –mungkin ini adalah satu penyataan bahawasanya watak itu sendiri tidak perlu diambil peduli dalam satu penyataan dan pandangan politik. Saya menggunakan watak ini hanya sekadar alasan  formal semata-mata, dan itu bukan kerana makna sebenar wira yang diciptakan…’

Karya ini dilihat seperti cerminan kepada ruang politik yang berlangsung kini bagaimana wira-wira yang dilihat handal dan ingin memperjuangkan hal-hal masyarakat hanyalah satu dongengan dan humor yang hanya memenuhi lanskap kehidupan sebenar. Sejauh mana masyarakat sedar tentang perjuangan hidup yang hal sebenarnya bukanlah hanya bergantung kepada beberapa individu yang beraksi sebagai wira penyelamat. Malah bagaimana kumpulan masyarakat seharusnya sedar tentang hak-hak dalam memperbaiki kehidupan dan kelas-kelas masyarakat yang masih tertindas.

Berbalik kepada naratif karya yang dipamerkan, dari perspektif pengkarya didalam merespon hal-hal berkaitan sistem, malah dalam posisi hubungan kemanusiaan dan kekeluarga turut di kongsi bersama. Kepelbagaian medium yang diolah dan dipamerkan seperti medium kain batik sebagai gantian kepada penggunan kanvas, tanda jalan, penghadang jalan menjadikan pameran ini lebih bermakna. Perletakkan imej dan makna dari persepsi pengkarya  sedikit sebanyak mengingatkan kita tentang medium dan bahan ini adalah perkara yang selalu dilihat tetapi tidak pernah diambil peduli. Selain daripada itu juga , imej burung gagak adalah diantara yang menjadi ulangan simbolik buat pengkarya dalam meletakkan imej dalam beberapa karya kali ini. Satu perspektif survival dan gagak adalah diantara hidupan terpinggir yang selalu menjadi buruan manusia. Ternyata pameran kali ini Rat banyak melihat semula ruang dan pengalaman yang beliau fahami untuk dikongsi bersama. Proses berkarya dan menumbuhkan ide berkarya yang bukan sekadar rekaan malah ianya satu kefahaman yang pernah dijalani dalam pandangan artistik.

Ikan (L)emas, Ikan (C)emas, Ikan (K)emas
acrylic on stretched batik sarong

61 x 61 cm

2016


photo credit: Rat heist(artist) & Run Amok Gallery

Construct
acrylic & marker pen on plastic road barrier,
79 x 120 x 25 cm
2016

photo credit: Rat heist(artist) & Run Amok Gallery


Malah yang lebih jelas, Ros cirda- adalah bunga merah   yang senantiasa menjadikan pameran ini lebih bermakna…  


Intan rafiza.