Sunday, August 30, 2009

Ulangtahun Cinta!


31 ogos juga ulang tahun perkahwinan mama dan papa.Walaupun papa sudah menemui tuhan pada 9 tahun lepas ,tapi ingatan ku buat papa masih kuat.Mungkin sikap romantis aku yang berlebihan ini kadang2 membuatkan perkara yang kecil boleh di pandang satu perkara yang aku rindu. Pada malam ini,aku cuba mencari puisi-puisi papa yang di tulisnya dalam diari.Tetapi dalam waktu ini aku agak penat untuk buka kotak2 buku yang mana di situ tersimpan beberapa diari papa yang masih aku jaga dengan baik. Itulah satu hubungan yang istemewaa bagi aku dan papa dalam masa kami menjalankan hidup bersama dan dia seorang yang romantis dan tulisan banyak membuatkan komunikasi kami berjalan lancar sekiranya papa jauh. Dimana juga aku tahu tentang kelahiran,dan bagaimana namaku dipilih.Ianya melalui tulisan.


Dan istimewa buat mama pula,masih ada berpuluh-puluh surat cinta yang papa tulis dahulu juga perjalanan hidup mereka yang bagiku amat bermakna. Mungkin satu hari nanti aku perlu kumpulkan semula agar ianya tidak reput begitu saja.


Dan pada waktu sekarang,di tangan ku ada diari papa 1995 yang mana dihadapan nya beliau meletakkan satu kata dari seorang tokoh,yang berbunyi:


Keadaan dapat berubah-ubah 24 kali dalam sehari, oleh itu kita harus pandai mengubah taktik perjuangan sebanyak itu juga. -LIEBKNECHT


Buat pejuang kemerdekaan diri,semoga bijak dalam taktik hidup mu!

oh...dirgahayu tanahair ku..




Ya atau tidak hari ini adalah hari kemerdekaan buat negara Malaysia,aku harap semuanya akan menjadi lebih baik buat rakyat Malaysia.Sekurangnya-kurangnya terlepas dari belenggu penjajahan fikiran yang kita tidak sedari dalam harian kita.Melihat cerminan diri sendiri agar kehidupan lebih bermakna!


Dan ini adalah antara karya sempena hari kemerdekaan yang telah di pamerkan pada 2007 di Galeri Shah Alam.Yang mengambil masa lebih 3 bulan untuk aku siapkan nya yang mana ianya di jahit dengan tangan sendiri tanpa ada bantuan mesin.


Tajuk:Oh...Dirgahayu tanahairku!


Ye lah tu intan..poyo skit la...kahh..kah...




Friday, August 28, 2009

LOVE ME OR LEAVE ME ALONE -APR 19 2007


"SIAPAKAH YANG AKAN MENJADI SUBJEK DAN TUAN KEPADA TINDAKAN JUGA PERISTIWA DAN SIAPAKAH YANG MENJADI MANGSA DAN OBJEKNYA?"-intan-
Ini adalah antara tulisan ku yang pernah aku post dalam blog lama yang sudah aku tinggalkan.Ini ditulis pada april,19 2007 dan kini aku salin semula yang mana aku dapat link dari blog kawan ku dan kurator seni Majidi. Kenapa aku tidak lagi di blog lama adalah kerana selalunya aku lupa pada nama blog itu sendiri dan password nya.Perkara ini terjadi bukan lah sekali dua tetapi lebih dari itu hingga kan beberapa kali aku perlu hubungi kawan ku untuk bertanya kan apakah nama blog ku itu?
Jom! kongsi tulisan ini lagi...karya aku yang masih disimpan dengan baik,dan seandainya satu hari nanti aku gagal untuk mendampingi artwork ini lagi,aku tahu siapa yang boleh jaganya dengan baik..semoga semangat,emosi dan perasaan ku pada artwork ini akan datang lagi untuk karya terbaru ku..

dialog-antara -mangsa - pemangsa

Ini adalah antara karya yang masih didalam proses penyiapan.Yang mana karya ini antara karya yang akan dihantar untuk pertandingan bakat muda sezaman pada bulan yang akan datang dan masih tidak pasti tentang tarikh tetapnya lagi.Masih menanti panggilan dari pihak balaiseni yang mana kadang buat aku merasa terlalu longgar akibat tidak ada dateline yang tepat...malah bila difikirkan semula,ianya peluang untuk memperbaiki dan menghasilkan dengan lebih baik.





Sekurang-kurangnya disini aku ingin berkongsi tentang ide yang ingin disampaikan.Kerana baru-baru ini aku telah ditegur tentang karya ini yang tidak sampai mesejnya?Yang mana penilai itu sendiri mengatakan aku gagal untuk menyampaikan karya dalam konsep seni tampak (yang beliau lebih bermaksudkan imej sendiri boleh membawa makna)malahan karyaku hanya terus menerus dengan patah perkataan.Selain daripada itu juga,nilai-nilai prinsipal seni seperti perspektif tidaklah jelas untuk karya ini.




Tetapi bagiku,ini antara kritik awal yang patut aku terima walhal aku ada sebabku sendiri kenapa ianya diolah begitu..............




Berbalik kepada ide yang aku ketengahkan:
Ianya adalah satu dialog.Yang mana aku meletakkan dua ayat yang berlawanan emosinya menjadi satu "love me + or + leave me alone".Dan boleh aku katakan ianya adalah diaolg diantara mangsa dan pemangsa, atau juga sekiranya dua ayat ini digabungkan ianya adalah satu ayat ancaman!




Dedikasi buat mangsa dan pemangsa nilai yang mana sekarang ini nilai yang sejelasnya material menjadi punca untuk pelbagai topik. Dan bagiku, apabila ciptaan manusia berakal adalah sebenarnya adalah untuk membuat pilihan.Memilih untuk mengambil atau mempersetujui sesuatu nilai atau menerima kesan yang lebih kritikal tetapi tetap pada satu penderitaan.
Eksklusif untuk mangsa dan pemangsa perang.Yakni perang antara saudara ataupun perang yang tidak pernah mengaku saudara.




Adanya sikap manipulasi jiwa yang dimulai dengan perletakkan nilai pada hak pihak lawan.Lantas membeli, mencuri, meragut, memaksa untuk menerima nilai semata-mata untuk menakluki.
Kelemahan mangsa yang selalu ditekankan oleh keruntuhan kemodenan dan kemelesatan ekonomi(wang-fokusnya)tetapi kaya dengan bahan mentah juga menjadi subjek utama punca duit.
Dan pemangsa mempunyai kelebihan nilai yang tidak ternilai juga tidak ada punca untuk pemberanakan nilai. Maka jalan terbaik:pilihan dari pemangsa kepada mangsa "love me" (you have to love me :money).dan mangsa merayu...."leave me alone"




Di sini aku ambil petikan dari Albert R.Chandler(buku: Beauty and human nature):ulasan beliau tentang pengalaman estetik:




Pengalaman estetik boleh ditakrifkan sebagai merenung atau sebagai gerak hati yang memuaskan perasaan.Apabila aku menikmati keindahan matahari terbenam aku merasa puas merenunginya.Perasaaan ingin tahu yang ada didalam benakku kupendamkan.-Pada ketika itu aku tidak lagi memperdulikan apa yang menyebabkan awan dan cahaya.Minatku dari segi kegunaan tidak ku hiraukan lagi.-Pada ketika itu aku tidak lagi memperdulikan sama ada langitnya akan membawa cuaca kering atau sebaliknya, sesungguhnya kebun ku mungkin memerlukan hujan. Aku merasa cukup puas merenungi matahari terbenam.




Daripada ini kita dapat lihat kepuasan tidak langsung sebagai suatu keadaan akal fikiran yang diperlihatkan oleh kesediaan seseorang untuk memanjang dan mengulangi pengalaman yang tertentu. Istilah kepuasan lebih bersesuaian dari keseronokkan. Kerana istilah kepuasan mempunyai makna yang lebih luas.Keghairahan yang dicetuskan oleh sebuah melodarama tidaklah dapat disifatkan sebagai satu keseronokkan,tetapi ia tidak syak lagi ia memberikan satu kepuasan, kerana orang ingin memanjang dan mengulanginya.Kesedihan yang digambarkan dalam satu lagu atau puisi demikian juga halnya..kita mungkin mencucuri airmata apabila mendengarnya, tetapi pengalaman kita itu tetap memuaskan hati.




'persoalannya: adakah benar meletakkan benar atau tidak benar dalam membentuk dalam satu karya atau ianya adalah persetujuan fikiran masing-masing untuk melabelkan estetika karya itu sendiri'adakah terlalu mementingkan diri sendiri apabila karya yang dihasilkan tidak memenuhi kehendak pemerhati?gagal?

Tuesday, August 25, 2009

cinta oleh Kahlil Gibran

Ingin aku berkongsi kata dari Kahlil Gibran tentang cinta.Ini antara kata yang sungguh menyentuh perasaan dan buat aku tenang dan tersenyum buat seketika... ;)
Sememang nya keterlaluan boleh buat manusia jadi raksaksa yang ganas.

Aku ingin mencintaimu dengan sederhana…
seperti kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu…
Aku ingin mencintaimu dengan sederhana…
seperti isyarat yang tak sempat dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada.

Sambungan Kartika

Aku baru selesai lihat sambungan kisah Kartika.Maka dengan ini terbatal lah dan tertangguh kes sebatan ini kerana alasan tiada penyebat untuk bahagian syariah? eh...boleh pulak macam ni?
Bagaimana sistem perundangan yang di bina dalam sebuah negara di jalankan sekiranya hukum yang wujud tanpa pengendalinya?
Erm....ok...tak mahu peduli lagi..sistem yang sesuka hati buat aku rasa loya untuk ambil peduli.sebetulnya mahkamah perlu mengkaji semula pengendalian sebelum jatuh kan hukuman.Jangan tunjukkan kelemahan yang sudah sedia ada.ah! pergi mati lah...aku malas nak cakap lagi...

Monday, August 24, 2009

Masterpiece of my art performance.--Kelahiran-

Ingin aku berkongsi saat Sarah di lahirkan.Kawan ku mimi yang merakamkan ini pitam sesudah aku selamat berjuang untuk lahirkan anak ku. Aku bersyukur pada saat-saat itu dan kata-kataku pada waktu itu. hanya.. "ya Allah anak ku, subhanallah!' ini kenangan paling manis buat seorang yang bergelar ibu....

video

Kata Pertama

Kata pertama sarah beberapa bulan yang lepas.

video

video

video

video

video

video

video

Gurun Sarah


Kita bukan tersesat di Gurun Sahara,

Tapi semakin kita jauh jalan bersama,

Kamu mulai erat di sisi untuk aku jadi kuat,
Dan ini gurun Sarah buat ibu mu,

Percayalah merah semangat kamu seperti Sarah yang menanti anaknya Ishak walau seratus tahun lamanya..

Sabar yang menembusi segala-galanya..

Tetapi

Andainya cemburu mu seperti Sarah kepada Hajar..

Simpanlah ia sepertimana gelas kaca yang perlu di balut dan disimpan baik-baik,

Semoga dahaga ini buat kita terlupa yang padang ini terlalu luas,
Semoga dahaga ini buat langit melihat kita,

Seandainya mata air dari hujung bukit itu masih mengalir,

Akan kita nikmati bersama,

Akan kita simpan buat esok yang lebih perit kontangnya,

Dan berdoa lah pada tuhan mu,

Agar awan putih ini melindungi kamu jua aku.


-ramadhan 3 (rafiza lewat di tengahari yang terik)


Sunday, August 23, 2009

Duhai Kartika


Kisah Kartika Sari Dewi Sukarno sudah mulai sampai ke penghujungnya bila datang esok. Ramadhan ke-3.Aku bukan lah peminum arak dan menghalalkan yang batil.Tetapi untuk isu ini aku berfikir adakah ini satu jalan yang terbaik untuk dijatuhkan keatas seorang ibu yang mempunyai 2 orang anak dan adakah ini adil buat waktu sekarang?
Aku bukan ingin mempersoalkan tentang hukum dalam mahkamah syariah atau hukum ketetapan agama.Tetapi adakah adil bagi mak-mak datin melayu (islam) yang dah bergelen-gelen minum arak di private party di negara ini atau dato' dan dif terhormat yang berbelanja arak untuk kroni nya? adakah kesalahan dosa itu jadi lebih ringan dan hukuman menjadi tiada sekiranya status dan tempat itu berbeza?
Sekiranya Kartika katakan yang dia ingin ini adalah satu pemberitahuan dan pengajaran buat umat islam,aku berpendapat ianya bukan bertepatan dengan orang yang dihukumi dan masanya.
Sekiranya pihak penghukum mahu menjatuhkan hukuman sebegini,seharusnya biarlah jelas.Kerana bagi ku,dalam keadaan Kartika di tangkap atas alasan minum arak apakah di tempat kejadian hanya kartika keseorangan atau apakah di sekeliling tempat minum yang sama atau yang serupa dengan nya tidak manusia yang sama posisi seperti beliau.
Dan yang lebih memeranjatkan lagi Kartika bersetuju dengan hukuman ini.Ya,sememangnya hukuman ini bukanlah seberat sebatan pada kesalahan yang lain dan memandangkan beliau perempuan dan atas alasan tertentu.
Pelbagai pihak yang terasa bertanggungjawab untuk pertahan nasib Kartika, tetapi beliau nekad untuk meneruskan hukuman ini dengan rela. Sememangnya aku bertanya-tanya adakah ini benar apa yang dia inginkan atau ada sesuatu yang berlaku? Apakah Kartika tidak terfikir secara normal yakni pertahankan dirinya? Dan apa yang aku lihat di berita tadi,dia mengatakan bahawasanya dia tidak sabar lagi untuk menerima hukuman itu atas dasar ingin jadi contoh buat rakyat semua?Adakah beliau percaya yang mak datin peminum arak akan insaf?mungkin lah minah rempit yang minum arak akan takut..tapi aku tak pasti kalau mesej yang di ingin sampaikan sepatutnya sampai pada orang yang sepatutnya.Walaupun memang ada terasa ini adalah contoh kebodohan Kartika dan cuba jadi hero,tetapi aku doakan dia ikhlas atas apa yang dia buat.

Wednesday, August 12, 2009

Penyakit...penyakit..

Hari ini bila aku baca Malaysiakini.com, dikatakan 44 orang telah jadi mangsa kematian akibat A H1N1.Termasuk 2 baby dan ibu mengandung.Perkara ni aku anggap tragik dalam negara kita sekarang.
Syukur demam aku semakin ok dan doktor kata ini bukan H1N1.Tapi mata aku masih gelap kalau berdiri lama-lama.Tapi aku rasa nanti ok lah...
Dan bila pagi tadi aku ke Shah Alam aku dengar borak-borak mak-mak orang bercerita tentang ngeri nya penyakit ini. Sememang nya aku tau penyakit ni bahaya tapi tak payah lah korang nak cerita macam penyakit ni macam alien yang kejar kau je.Tapi dengan tenang je aku mengaku kat mak-mak orang ni cakap aku demam..ahahahaha....apa lagi tiba-tiba yang beria-ria cerita tu sebelah aku tu terus tarik kerusi dia sikit jauh pada aku.Kelakar pulak aku tengok.Lepas tu aku cakap yang aku ni demam biasa je.Dan kalau betul-betul la kau takut sangat sakit dan mati ni pergi la hospital dan cari info macamana nak jaga kebersihan diri dan kawal penyakit ini dari di hinggapi.Tak payah la nak jaja cerita camtu pastu menakut-nakut orang yang tak ada info tentang itu...pening kepala aku....
Yang penting: kerap cuci tangan bila bersentuhan dengan orang awam,selepas bersin atau batuk(pakai instant hand sanitizer )pun ok, kurang kan berada di tempat awam terutamanya anak2 kecil, kerap minum air kosong, dan mohon pada tuhan agar kita selamat!

Friday, August 7, 2009

Semoga kamu sudah aman disana-buat WS Rendra

Pagi in bila ku mulai surfing internet,ada berita kesedihan berlaku lagi..pejuang seni WS Rendra di kota Jakarta telah pergi menemui tuhan. Dan aku mulai buka berita di tv dan website yang lain dan benarlah ini yang terjadi. Seperti kematian biasa,alasan di perlukan untuk bersama tuhan.Dan kali ini Alasan buat Rendra,dia alami kondisi masalah jantung.Sudah pasti sekarang Allahyarham sudah tidak perlu risau tentang tubuh badan nya lagi..Beliau hanya bersama roh yang sudah di atas langit...
Kepergian WS Rendra mengingatkan aku pada di zaman Universiti ku...sahabat baik ku yang suka membacakan puisi bila dia terasa ingin berkongsi..dan apa yang aku masih ingati, puisi 'surat cinta' adalah antara puisi kegemaran sahabat baik ku.Ianya puisi yang romantis,punya harapan dan ada penceritaan yang boleh kita gambarkan bila kita membacanya... Buat penganut cinta di luar sana,semoga harapan buat kamu lebih bernyawa...Ini antara bahagian 'Surat Cinta'-WS Rendra yang aku gemari...

Kau tahu dari dulu:
tiada lebih buruk
dan tiada lebih baik
dari yang lain…
penyair dari kehidupan sehari-hari,
orang yang bermula dari kata
kata yang bermula dari kehidupan,
pikir dan rasa

SURAT CINTA
Kutulis surat inikala hujan gerimis
bagai bunyi tambur yang gaib,
Dan angin mendesah
mengeluh dan mendesah,
Wahai, dik Narti,
aku cinta kepadamu !
Kutulis surat inikala langit menangis
dan dua ekor belibis
bercintaan dalam kolam
bagai dua anak nakal
jenaka dan manis
mengibaskan ekor
serta menggetarkan bulu-bulunya,
Wahai, dik Narti,
kupinang kau menjadi istriku !
Kaki-kaki hujan yang runcing
menyentuhkan ujungnya di bumi,
Kaki-kaki cinta yang tegas
bagai logam berat gemerlapan
menempuh ke muka
dan tak kan kunjung diundurkan
Selusin malaikattelah turun di kala hujan gerimis
Di muka kaca jendela
mereka berkaca dan mencuci rambutnya
untuk ke pesta
Wahai, dik Narti
dengan pakaian pengantin yang anggun
bunga-bunga serta keris keramat
aku ingin membimbingmu ke altar
untuk dikawinkan
Aku melamarmu,
Kau tahu dari dulu:tiada lebih buruk
dan tiada lebih baik
dari yang lain…
penyair dari kehidupan sehari-hari,
orang yang bermula dari kata
kata yang bermula dari kehidupan,
pikir dan rasa
Semangat kehidupan yang kuat
bagai berjuta-juta jarum alit
menusuki kulit langit:kantong rejeki dan restu wingit
Lalu tumpahlah gerimis
Angin dan cinta
mendesah dalam gerimis.
Semangat cintaku yang kuta
batgai seribu tangan gaib
menyebarkan seribu jaring
menyergap hatimu
yang selalu tersenyum padaku
Engkau adalah putri duyung
tawananku
Putri duyung dengan
suara merdu lembut
bagai angin laut,
mendesahlah bagiku !
Angin mendesah
selalu mendesah
dengan ratapnya yang merdu.
Engkau adalah putri duyung
tergolek lemas
mengejap-ngejapkan matanya yang indah
dalam jaringku
Wahai, putri duyung,
aku menjaringmu
aku melamarmu
Kutulis surat ini
kala hujan gerimis kerna langit
gadis manja dan manis
menangis minta mainan.
Dua anak lelaki nakal
bersenda gurau dalam selokan
dan langit iri melihatnya
Wahai, Dik Narti
kuingin dikau
menjadi ibu anak-anakku !
~ W.S Rendra

Thursday, August 6, 2009

Menanti kelambu merah jambu!

2 hari lepas adik aku tinggal bersama denganku telah mengalami demam.Doktor dari hospital call yang katakan dia suspek denggi. Dan esok check darah sekali lagi dan moga-moga tak lah! Tapi kawasan ku ini sememangnya banyak nyamuk.Setiap malam aku akan berperang dengan nyamuk.Mula-mula dulu memang selalu menyumpah lah pada nyamuk-nyamuk ni,tapi bila aku fikirkan bukan lah salah nyamuk pun. Salah aku yang tak tutup pintu dan tingkap bila malam menjelma.
Dan ciri-ciri nyamuk kat sini sememangnya agak kebal.Aku pasang ubat nyamuk,sembur racun serangga dan pasang kipas kuat-kuat pun nyamuk tetap menyerang.Aku juga dan cuba pakai patches, bau-bauan dan alat yang berbunyi untuk hilangkan nyamuk,tapi gagal juga!Dan malam tadi untuk setiap 10-15 min aku akan terjaga untuk lihat-lihat pada anak ku adakah dia jadi santapan nyamuk atau tak.Adalah beberapa nyamuk yang jadi mangsa tangan ku.Sorry nyamuk,aku terpaksa korbankan nyawa kamu semua demi kesihatan anak perempuan ku.... ;(

Dan bila berita ini sampai pada mama ku di Mentakab,dengan secepat kilat dia terus ke bandar Mentakab dan belikan kelambu buat kami di sini. Dan mama cakap harga kelambu sangat berbeza dari 20 tahun yang lepas.Waktu aku kecil,mama kata harga kelambu tak sampai rm 10,tapi sekarang rm25.90.Mungkin permintaan yang tinggi menyebabkan harga naik melambung-lambung.

Kalau aku ingatkan semula waktu aku kecil-kecil dulu, sememangnya kami sekeluarga agak peka dengan kes denggi.Ini kerana papa ku pernah kerja bahagian pejabat kesihatan dan dalam satu bulan antara kami adik beradik akan di pilih oleh papa untuk bawa ke perkampungan dalaman atau kampung orang asli untuk memberi pendedahan dan langkah keselamatan tentang bahaya denggi dan malaria. Pejabat Kesihatan akan memasangkan wayang free dan kumpulkan pendudukan setempat. Pernah sekali aku di bawa ke Kuantan dan kami mengalami kemalangan jalan raya waktu balik dari Kuantan.Cermin depan van pecah dan waktu itu aku tidur di pangkuan papa.Habis kaca halus tercucuk di kaki ku, yang mana waktu itu aku memakai seluar pendek.Ketika itu umur ku kira-kira 6 tahun. Nasib baik kami semua tak apa-apa dan itu terjadi kerana cermin mulai retak akibat terkena batu dan pecah berderai...Pengalaman ini akan aku simpan baik-baik.

Berbalik pada waktu kini...Kelambu merah jambu akan sampai tak lama lagi.Aku terasa memang ini jalan yang sebaiknya.Tidak membahayakan kesihatan dengan menghirup udara asap ubat nyamuk setiap malam dan nyamuk boleh cari mangsa lain kalau mereka laparkan darah...
Aku harap selepas ni pihak apartment ni akan ambil jalan penyelesaian.Kalau diorang nak jalankan gotong royong untuk kebersihan pun aku sanggup.

Harap-harap minggu depan kami akan tidur lena dengan mimpi indah di dalam kelambu merah jambu yang akan melindungi kami.....

Wednesday, August 5, 2009

Isu gender dan feminisme dalam Pameran Pertama(Intan Rafiza)- oleh Azman Ismail

PEMIKIR pascamoden, Michel Foucault telah mengemukakan satu analisis tentang motif-motif tertentu pada suatu media atau teks. Intinya ialah ‘produksi kekuasaan’ tidak bertumpu pada satu titik iaitu pihak yang dominan.
Justeru titik kekuasaan tersebut tersebar di seluruh masyarakat. Produksi kekuasaan yang terjadi kemudian adalah munculnya strategi untuk menampilkan wacana menjadikan wanita sebagai objek pemasaran dan konsumerisme.
Dalam bidang seni, wanita tetap menjadi elemen yang cukup dominan sejak era Greek kuno hingga perkembangan kesenian kontemporari.
Antiphanes seorang tokoh drama komedi Greek melontarkan pendapat yang menarik; Wanita tidak akan hidup lagi setelah kematian, kecuali dibangkitkan sebagai objek seni oleh penggiat-penggiat lelaki.
Perkembangan seni tampak moden pula memperlihatkan wanita menjadi objek yang benar-benar mengundang libido khalayak (dalam hal ini bererti libido lelaki) dengan menempatkan wanita wacana yang sensual, bukan karya seni lukisnya.
Selepas Leonardo da Vincci melahirkan karya Monalisa pada abad ke-16 misalnya, pelbagai tafsiran khususnya dari aspek seksual dilontarkan - suatu stereotaip yang memang sangat merugikan wanita.
Akhirnya muncul pandangan baru di kalangan wanita untuk untuk memecah stereotaip itu sendiri dengan menemukan semangat kebebasan dalam dalam semua aspek termasuk bidang seni.
Ironisnya, pemikir Hans Georg Gadamer dalam tulisannya, Truth and Method mengatakan bahwa tidak ada peraturan seni yang bersifat universal hingga bergantung kepada penggiat seni untuk menggunakan subjek atau tema dalam karya-karya mereka.
Pandangan yang sama turut dikemukakan oleh pemikir Jerman, Immanuel Kant bahawa seni yang asli adalah seni oleh para genius yang tidak mengeksploitasi wanita sebagai subjek.
Dalam konteks perkembangan gender dan feminisme, sejak abad 17 hingga 21 gerakan telah mencapai pasang surut dan mengalami perluasan tuntutan dan agenda perjuangan yang jauh lebih rumit.
Kaum feminis menginginkan adanya suatu perubahan pandangan dalam masyarakat mengenai kedudukan wanita yang sering dianggap di bawah laki-laki.
Sehingga tercipta suatu `pengakuan’ mengenai persamaan antara laki-laki dan perempuan dalam kehidupan bermasyarakat, seni dan budaya.
Menghayati pameran lukisan solo, Intan Rafiza Abu Bakar, Pertama yang sedang berlangsung di Galeri Shah Alam, Selangor membuka ruang kepada gerakan feminisme ini secara tidak langsung.
Karya-karyanya yang tidak tertumpu kepada pendekatan, kaedah dan objek tertentu telah menyelami seluruh aspek tentang wanita, membangkitkan imej gender dan feminisme yang cukup kuat.
Konsep feminisme yang digunakan dalam pameran ini tidak mengambil mentah-mentah daripada wacana perjuangan gender dalam acuan istilah Barat.
Penggunaan bahan yang ditampilkan dengan pendekatan eksperimental diketengahkan dalam kerangka Malaysia yang ketara khususnya dalam kaedah penyampaian.
Kesemua karyanya seolah-olah menolak kehidupan seorang wanita yang selalu dihubungkan secara dikotomi dengan apa yang dianggap sebagai lembut, lemah, pasif dan pasrah. Inti daripada keadaan tersebut ialah struktur fizikal.
Dikotomi dan struktur fizikal tersebut akhirnya membawa hierarki dalam kehidupan sosial dalam pelbagai kebudayaan yang mendominasi warisan nilai-nilai di dunia sekarang ini.
Feminisme dan ideologi gender yang ‘disentuh’ oleh Intan Rafiza secara tidak langsung menolak pandangan tersebut dengan mengutarakan bahawa wanita tetap mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri dengan menguasai pelbagai bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh lelaki.
Karya-karyanya seperti Love Me or Leave Me Alone, Terbang, Perempuan-Perempuan, Vote For Me dan Hadiah, melontarkan metafora tentang kedudukan tersebut dengan begitu baik.
Melalui karya-karya ini, beliau mengajak khalayak menyelami apa yang dikatakan penafian perbezaan gender dalam pelbagai aspek - suatu isu yang masih membelenggu golongan wanita di sesetengah negara.
Di sisi lain, Intan Rafiza tidak banyak melakukan eksperimen dalam aspek catan. Pengunaan warna yang harmoni dengan variasi sapuan membuka ruang katarsis yang cukup bermakna kepada khalayak.
Pengunaan subjek yang `berat’ diimbangi dengan penggunaan warna harmoni hingga berjaya mewujudkan kesatuan visual yang tidak terlalu membebankan khalayak.
Memang kedudukan karya-karya Intan Rafiza secara kontekstual dalam isu feminisme dan gender masih boleh dipersoalkan. Ia tidak boleh diterima tanpa melihat dan mengkaji kembali perjalanan wacana gender yang berkembang di Barat.
Ketika feminisme muncul dan mulai marak di Barat hasil daripada perubahan-perubahan sosial terutama selepas revolusi industri, muncul pertembungan antara kelas masyarakat.
Pertembungan tersebut juga melibatkan kaum wanita sebagai sebuah kelompok sosial melawan kelompok sosial yang lain iaitu kaum lelaki, dengan tujuan untuk mencapai persamaan, kesejajaran atau mungkin menggantikan posisi lelaki.
Dialektika wacana gender dan feminisme di Barat sendiri lebih terperinci dengan perkembangan teori-teori baru yang lebih terbuka mengenai masalah gender dan seksualiti yang lebih radikal.
Namun, berbeza dengan keseluruhan karya Intan Rafiza. Isu gender dan feminisme diketengahkan dalam kerangka Malaysia yang lebih tabu, tertutup dan penuh dengan pendekatan metafora.
Beliau telah meletakkan diri dan karyanya tidak hanya bergelut pada masalah wanita saja tetapi turut berhubung dengan pascamodenisme dan postrukturalisme.
Pendekatan sama banyak diutarakan oleh pelukis-pelukis feminis wanita Barat sejak 1960-an. Antaranya Carolee Scheemann, Hannah Wilke, Mary Kelly, Ana Mendieta, Marina Abramovic dan Cindy Sherman.
Kesemua pelukis tersebut banyak mengangkat isu hubungan antara gender, identiti dan penafsiran semula terhadap peranan wanita dalam masyarakat Barat pada era pascaindustri.
Begitu juga karya-karya Intan Rafiza. Ia mengetengahkan penafsiran peribadi tentang peranan, kedudukan dan hak wanita dalam konteks Malaysia mutakhir.
Sementara itu, pameran Pertama dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Pameran Pertama- Intan Rafiza Abu Bakar




Pada Mac 2008,untuk pertama kali aku diberi peluang oleh Galeri Shah Alam dalam mengadakan pameran solo.Ini permulaan untuk aku yang cuba mewujudkan diri ku dalam bidang seni tampak Malaysia.Semoga akan datang, aku tidak hilang dan terus lagi untuk berkarya.
Pameran yang di rasmikan oleh Dato A Samad Said amat aku hargai dan terima kasih atas sokongan hadirin yang membuat aku terasa lebih senang untuk mempersembahkan seni. Terima kasih.


Tulisan sahabat baik ku Rina Shukor membuatkan segalanya menjadi lebih lengkap...

Menerusi hasilan seni Intan Rafiza yang menyelami seluruh cerminan peribadi wanita, karyanya tidak terikat pada mana - mana bahan atau objek tetapi mempunyai perpaduan experimentasi keadaan sekelilingnya. Karya – karya yang beremosi kewanitaan, saling bercerita diantara satu sama lain. Menurut Freud, ia melahirkan satu sifat psikoanalisis yang memfokus kepada jiwa manusia iaitu melakukan perkara yang mereka tidak sedar, id, ego, super ego dan kecintaan.Sifat – sifat relativisme yang dinilai dalam karya – karya beliau ialah satu penentuan penikmat tertentu sahaja yang berupaya untuk mengenal pasti kualiti dan unsur keindahan yang wujud pada hasil seninya. Pada masa yang sama, idea- idea beliau banyak menyerapkan emosi sebagai satu pengalaman yang penuh perasaan dan menyertai penyelenggaraan dalaman secara am serta membangkitkan homeostasis yang tergerak di dalam dirinya dan menunjukkan pada tingkah laku yang nyata.Sebagai contoh dalam karya “love me or leave me alone” perkataan yang disulam pada kain kanvas itu dapat dijelaskan melalui perasaan harga diri yang membangkitkan sifat ‘positif’ iaitu penghargaan dan pujian, manakala sifat ‘negatif’ iaitu dimarahi atau penghinaan. Menurut Intan Rafiza :“saya bercerita tentang bagaimana harapan dan obsesi dalam satu hubungan. tentang keegoan dan juga rasa kecintaan. dan dalam masa yang sama, situasi mangsa dan pemangsa itu wujud.”Ternyata sekali fungsi ungkapan tersebut jelas bahawa pelukis mengilustrasikan subjek dan objek dalam bentuk yang samar atau abstrak dengan mentafsir fenomena yang dikatakan itu lebih konkrit. Ciri – ciri emansipasi dan feminiti yang terdapat menerusi karya ini, sedikit sebanyak menggambarkan harapan apabila imej kotak dan bunga kelihatan terapung menjelaskan hubungan emosi serta sikap empati yang ditakrifkan oleh pelukis dalam karyanya.Warna – warna juga dapat dilihat memainkan peranan sebagai pemangkin dan secara langsungnya mencetuskan Katarsis yang bebas tanpa ada sekatan. Teknik – tekniknya tidak terikat pada satu, tetapi dengan kepelbagaian. Ini mungkin melibatkan proses eksperimentasi elemen dan prinsip seni visual di dalam penghasilan karyanya kerana kelompok karya beliau agak berbeza dalam aplikasinya.Karya – karya Intan Rafiza terdapat kepelbagaian simbol yang cenderung kepada imaginasi yang aktif, iaitu salah satu teori pernah dikemukakan oleh Carl Jung yang menyatakan seseorang itu ibarat terikat kepada pengalaman dibawah sedar dan kemudiannya dapat menggambarkan imej sebagai satu kandungan pada sesuatu permukaan. Ia dapat dilihat jelas dalam karya – karya miniaturnya yang banyak menggunakan imej seperti origami burung, sampan, kapal terbang, jahitan awan serta imej bunga tulip. Secara tidak langsung mencetuskan pengertian tentang perjalanannya yang begitu “transcendence”. Oleh itu, penggunaan warna yang kelihatan sayu dan gembira terungkap dalam beberapa lagi hasil seni visualnya seperti “sleeping beauty”. Beliau mempalitkan beberapa warna yang kelihatan parah tetapi berdasarkan perkataan “sleeping beauty” ianya memberi erti kata yang berlainan. Karya-karya yang dihasilkan oleh Frida Kahlo telah dijadikan rujukan yang mana sedikit sebanyak telah mempengaruhi pelukis Intan Rafiza, khususnya dari segi penggunaan simbol, konsep dan idea. Frida sendiri ialah seorang pelukis wanita tersohor di Mexico yang banyak bercerita tentang hubungannya dengan mereka yang terdekat dalam hidupnya. Mereka ini termasuklah ahli keluarga, rakan-rakan, suami dan juga bayi kandunganya. Sejarah hidup beliau yang penuh dengan kesedihan turut memuatkan diri sendiri sebagai subjek dalam kebanyakan karyanya.Sepanjang menjadi Pelukis Residen di Galeri Shah Alam, Intan Rafiza banyak menghasilkan puisi yang melibatkan dirinya sebagai subjek. Ia sedikit sebanyak dipengaruhi oleh bahasa – bahasa puisi sebagai alat penyampaian dan hubungan terhadap karya seni visualnya. Justeru, ia menyediakan suatu lapangan yang agak luas untuk penumpuan fikiran dimana banyak liku – liku yang harus dilaluinya untuk sampai kepada makna dan tujuan sebenar hasil seni beliau. Ungkapan – ungkapan puisi yang berkias, serta kata kinayah dan metaforik adalah pengganti kepada seni visualnya sebagai satu ambiguiti serta pragmatik. Oleh itu, “Siapakah yang akan menjadi subjek atau tuan kepada tindakan dan peristiwa, siapakah yang menjadi mangsa dan objeknya?”Untuk : Intan RafizaOleh : Rina Shukor Mac 2008

Bahagian Satu




Pada minggu lepas,berita tentang kawan-kawan ku yang yang menjalankan tugas ke Kabul telah aku ketahui.Pilihanraya akan dijalankan lagi setelah 5 tahun lepas telah pun berlalu.Tiba-tiba ada satu rasa yang datang padaku..Terasa ingin tahu segalanya proses pihanraya kali ini.Aku bukan lah seorang yang pandai sangat tentang politik dan agenda pilihanraya.Tetapi bagi negara Afghanistan, ini istimewa buat diriku.Istimewa kerana telah 2 kali aku menyertai ANFREL (ASIAN FOR FREE AND FAIR ELECTION) untuk menjadi pemantau pilihanraya international disana.
Yang mana itu kali pertama bagi negara tersebut menjalankan proses pilihanraya setelah mereka melalui hidup yang keras akibat peperangan.Untuk kali pertama aku kesana adalah pada tahun 2004.Pada waktu itu umur ku 23 tahun dan baru selesai pengajian di UiTM (UNIVERSITI TEKNOLOGI SHAH ALAM) dalam jurusan seni halus.Pada waktu itu,aku menerima segalanya yang baru untuk aku pelajari dan aku percaya, pelajaran melalui pengalaman adalah sesuatu yang original dan tidak dapat di ambil atau dibeli dimana-mana.
Di sini aku mahu berkongsi tentang pengalaman yang bagus ini.Aku berterima kasih kepada tuhan,kerana dalam usia itu DIA menggerakkan pihak dan badan NGO yang mulanya asing bagi ku untuk menerima tugas itu dan segalanya bagai mimpi buat aku.Mungkin ini adalah sesuatu yang biasa bagi sesetengah pihak dan bukan satu soal yang besar,tapi bagi seorang budak perempuan yang asalnya dari kampung yang kecil,punya hidup yang agak keras di tanah sendiri ini adalah sesuatu yang besar buat aku.Ini bermula bila aku menyertai satu badan NGO di Malaysia, MAFREL (MALAYSIA FOR FREE AND FAIR ELECTION).Dalam beberapa tugas yang mereka berikan padaku untuk menjalankan pilihanraya di Malaysia pada 2004.Segala nya aku buat dengan bersungguh-sungguh dan belajar banyak perkara tentang proses pilihanraya.Ini sangat membuka mataku.Menyedarkan aku tentang betapa cetek pikiran ku dan ada masyarakat kita yang tuli tentang hak dan kuasa rakyat dalam proses pilihanraya dan politik busuk yang berlaku disekitar proses pilihanraya.Beberapa bulan setelah pilihanraya di negara ini selesai,aku menerima panggilan telefon dari Badan MAFREL dan menawarkan untuk memantau pilihanraya untuk menjadi STO(SHORT TERM OBSERVER) selama 2 minggu. Padahal waktu itu hanya ada 2 ringgit di dalam poket dan sedang makan nasi dan telur bersama seorang lagi kawan ku. Yang mana kami baru selesai mengerjakan satu projek seni tapi bayarannya masih belum dapat.
Pihak MAFREL beri aku masa selama 2 minggu untuk siapkan pasport dan keputusan sekiranya aku berminat untuk sertai.Sememang nya aku perlu ambil peluang ini.Dan dalam masa yang sama ada kawan ku yang ingin melunaskan bayaran lukisan ku yang dia beli setelah sekian lama dan ini memang masa yang sesuai untuk dia berbuat demikian.Maka, dalam masa 2 minggu itu,segala berjalan dengan cepat.Kami di beri penerangan yang jelas melalui perjumpaan dan email dan lengkap sekali.Tentang segala-gala dan aku terasa ianya begitu terperinci untuk kesana. Dan tinggal seminggu lagi ke sana,sudah tiba masanya aku beritahu mama tentang kepergian aku ini.Sememangnya mama ku seorang yang sangat mudah menangis dan dari kecil dia seorang ibu yang sangat melindungi anaknya seingat ku pada waktu dulu.Apabila dia mengetahui hal ini.maka tidak henti-henti dia memujuk ku agar memikirkan kembali apakah ini wajar untuk anak gadis melayu berumur 23 tahun dan baru selesai kuliah ada ke negara yang penuh pergolakkan.Bagi dia,aku seperti menyerahkan diriku untuk terlibat dalam bahaya peperangan.Tetapi hanya satu ayat aku cuba yakini dia, aku katakan kematian itu ada dimana-mana dan papa ku yang mati adalah di depan mata kami dan itu tiada beza sekiranya aku mati di sana.kalau nyawa ingin di cabut,tuhan tidak memilih tempat dan pergi adalah tetap pergi.Doakan saja semuanya ok dan aku pergi tidak lama dan aku terasa aku perlukan pengalaman ini.
Setelah itu,perjalanan aku bermula.Dari Malaysia ke Bangkok, Thailand...terus ke Karachi, Pakistan... terus ke Kabul, Afghanistan...dan sekali lagi aku membuka mata kini aku telah berada di Tanah Tinggi Bamyan,Afghanistan.Subhanallah...Inikah syurga?


Ya...tugas ku bermula bila sampai ke bumi Afghan....




bersambung.................

Monday, August 3, 2009

Permulaan-






Perkara pertama yang ingin aku kongsi ialah tentang konsep kejiranan dalam komuniti kita sekarang.Mungkinlah ada yang terfikir tentang perkara lain yang lebih penting yang boleh di katakan tapi untuk masa sekarang ini yang aku fikir dan kadangkala kalanya aku adakah aku yang tidak memahami konsep kejiranan yang hanya mementingkan diri atau mereka sebaliknya.




Ini bermula bila aku berpindah ke tempat baru.Berpindah bersama seorang anak perempuan ku yang masih kecil,lingkungan umur 1 tahun.Memang kawasan apartment yang aku tinggal ini agak aman sekiranya di bandingkan untuk lingkungan bahagian kawasan Ampang.Ianya perumahan yang penduduknya berbilang bangsa.Melayu,Cina,India,Bangla,Arab, Mat Saleh dan ada yang tidak dapat dikenal pasti bangsanya.Aku tak perduli sangat pun.Ini semua manusia yang darahnya merah dan tengkorak kepalanya keras.Dan aku selesa untuk ada jiran yang kepelbagaian dan mereka kelihatan ada hidup yang bukan komuniti yang berfikiran cetek.Mereka tidak menjaga tepi kain orang dan menegur sapa antara satu sama lain.Dalam erti kata lain,senyuman selalu ada disini.


Ruang rehat diluar juga agak selasa..ada playground,pokok-pokok kemboja dan kucing-kucing.Ini aktiviti setiap petang aku dan anak ku lakukan.Petik bunga,main buai dan kejar kucing-kucing yang comel tetapi sombong.Mungkin mereka cukup makan dan tak mau depan dengan kami yang tangan kosong bila kejar nya...hahaha..
Tetapi untuk akhir2 ini aku kurang sabar dengan beberapa jiran tetangga disini.Seperti mana yang aku katakan,hidupku kini ada bersama anak yang masih kecil.Kalaulah diri ku seorang tak mungkin aku berfikir begini dan pergi mati dengan hal masing-masing.Tapi dalam masa 24 jam per hari jiran di tingkat atas akan bermain piano dalam lingkungan masa anakku tidur 10am-12pm. Dan sebelum nya jiran di sebelah rumah akan memasangkan radio yang kadar bunyinya melebihi pendengaran manusia normal.Itu pula dalam masa 8 am- 12pm juga...Dan di waktu malam anak jiran tingkat atas akan berlatih gimnastiknya yang menggunakan bola dalam waktu 12malam hingga 1 pagi mungkin!hah...mula-mula dahulu anakku memang selalu ter sentak bila hal2 ini berlaku dalam waktu dia tidur,tapi mungkin dia harus biasa kan hal ini juga...Untuk menyedapkan hati aku,aku terfikir bagaimana lah anak-anak di zaman perang boleh aman tidurnya, boleh bernafas dengan tidak degupan jantung yang terlalu deras kalau situasi sekeliling porak peranda dan ini pasti sukar untuk jalani hidup.




Berbalik pada siatuasi aku,secara rasionalnya aku terasa bukan masanya lagi aku konfran dengan mereka-mereka ini.aku anggap mereka punya masalah mental dan sikap pentingkan diri terlalu kuat.Mungkin mereka boleh menjalankan hobi seperti itu,itu buat pokok persoalannya.Tapi dengan cara yang bagaimana?Pasanglah menebat bunyi di dinding atau tutup pintu waktu bunyi-bunyian itu di alunkan.Sekurang-kurangnya ianya tidak lah membuatkan aku menyumpah sorang-sorang di rumah.


Sekiranya mereka percaya pada agama masing-masing memang ada termaktub bagaimana konsep kejiranan itu sendiri,tetapi sekiranya mereka seorang yang menolak agama percaya kepada konsep kemanusiaan, itujuga ada meletakkan dasar-dasar positif dengan orang sekeliling...




Walaubagaimana pun semoga aku tidak tergolong dalam orang yang sebegitu.Maksudku orang yang pekak dan buta untuk orang sekeliling.Harap-harap anankku belajar dari hidup nya ini.Mungkin ini ujian kesabaran stage 11!ahahahaha...hidup ini satu permainan ya!bila aku lepas tahap ini mungkin ada tahap yang lebih tinggi untuk sampai ke tahap Dewa!!!huhuhhuhu...aku dah merapu! ;)
Ini tulisan pertama.harap2 aku setia pada blog aku kali ini.memang aku pernah ada cuba ada tulisan begini sebelum nya tapi banyak kemalangan yang berlaku tiba-tiba.password hilang la...lupa address la...kadang-kadang aku terpaksa tanya kawan ku pula apa address blog aku.Ini boleh mendatangkan tekanan pada kawan2 kan?hahahaha..dan masalah lain nya pula,aku terasa aku takut untuk ada tulisan yang terbuka begini...informasinya takut terlalu emosi dan luar dari rasional.Semoga kali ini aku belajar displin dan setia untuk berkongsi disini.Dan memandang persepsi hidup dengan cara yang lebih positif.Mungkin boleh bercakap tentang ide,tentang artwork aku yang tak kunjung tiba...tentang yang menentang juga kan?Tapi yang pasti, tentang anak ku sarah pasti akan terselit dimana-mana. ;P