Sunday, July 1, 2012

Pengenalan: Medium, tubuh & Aida Redza


‘Seni dan masyarakat berpunca dari kaitan manusia dan alam sekitarnya. Manusia dapat mengenali diri melalui karya-karya seni dengan menghidupkan getaran dalam sanubarinya.
Petikan dari catalog ‘Pameran Balai Seni Lukis Negara’ Datuk Syed Ahmad Jamal, Ketua Pengarah, 1988.

Dari petikan diatas, kepelbagaian medium untuk menyuarakan pendapat dan ekspresi seni  memperlihatkan perbezaan rasa percaya dalam cara penyampaian masing-masing. Walaupun ianya adalah  kepada satu tujuan  yang sama,  iaitu memberi dan menyampaikan sesuatu yang ingin dikongsi, bertindak balas kepada ruang sekeliling ataupun ianya adalah bertujuan  dengan agenda-agenda tertentu.

Cara berekspresi  dalam seni dengan menggunakan medium atau bahan yang diperlihatkan secara langsung (live) contohnya sebahagian tubuh,suara dan ekspresi   telah banyak di gunakan pakai di kalangan pengkarya seni sejak dari dahulu lagi. 

Penyaluran idea secara terus dari pengkarya kepada penonton kadang-kadang memberi cabaran, bantahan dan perbezaan pendapat melalui dialog yang sebegini.Ini adalah mungkin kerana komunikasi secara terus ini  adalah perkara yang paling hampir dan mempunyai kefahaman juga intepertasi dari pelbagai sudut yang berbeza dalam kehidupan. Contohnya pendapat  pengkaryaan yang disalah takfirkan dan dimanipulasi dari sudut kepercayaan dan agama, ataupun sensitiviti kaum, politik dan juga sudut psikologi itu sendiri. Malah dari perkara-perkara sebegini, ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk pengkarya seni pertunjukan untuk taboo dan menolak rasa hormat serta bertimbang rasa dalam menghadapi masyarakat seni.

Disinilah kita dapat melihat bagaimana kajian dalam memahami masa dan ruang amat penting. Tanggungjawab oleh pembuat karya dalam jangkaan tindakbalas dari penonton haruslah di ambilberat dan  sejauh mana karya itu akan memberi impak dalam masa terdekat ataupun jangkamasa yang panjang.
Persoalan yang selalu diajukan adalah bagaimana medium dalam seni pertunjukkan( performance art) ini ingin di ambil sebagai sebahagian nilai (value) karya seni ? Contohnya penonton boleh mengingati warna –warna ekspresi pada kanvas tetapi untuk karya seni apakah idea dan isu itu datang dahulu ataupun aksi yang terjadi pada ketika itu?

Disini ingin saya berkongsi serba sedikit tentang Aida Redza.Salah seorang pengkarya seni yang dilihat dalam medium yang berbeza dalam konteks seni visual yang luas. Walaupun latar belakang displin tarinya adalah formal dari tarian moden dan tradisional melihat gerak tubuhnya di setiap persembahan ada reaksi dan sentuhan tersendiri dan kadangkala berlaku secara spontan, menggunakan bahan dan prop yang memberi tanda (sign) tertentu, mimik muka dan suara yang bertindakbalas pada ruang itu sendiri. Dan ianya penuh dengan emosi dan suara tubuh itu sendiri!

Penglibatan hampir 15 tahun ini digunakan oleh Aida sebaik mungkin untuk berkarya secara solo, berkumpulan mahupun menjalankan aktiviti bengkel  dengan komuniti dan masyarakat. Kelebihan memahami gerak tubuh melalui tarian mungkin menjadi satu kelebihan buat beliau dan menurut Aida  juga beliau  percaya struktur biologikal seseorang memainkan peranan dan mempengaruhi setiap ekspresi yang cuba disampaikan. Serta menjadi seorang ibu kepada 2 orang anak, dan refleksi kehidupan sebenar banyak menjadi inspirasi kepada Aida Redza.

Selain daripada itu juga Aida Redza meletakkan medium seni pertunjukan yang mana tubuh adalah suara yang selalu dilontarkan dalam bertindakbalas memberi  pendapat  dan harapan.
Antara karya solo seni pertunjukkan beliau yang merespon kepada situasi dan kritikan sosial adalah “Jadi-an Solo  In Vision2020” pada 2007 di Copenhagen, Denmark,  “ Sculpturer “ pada 2005 di Rotterdam Dance Art Academy,  Feast Of Fool” pada 2004 di Denmark,  “Stirrings” pada 2002 di  Performing Studio, Pulau Pinang.

 Aida Redza percaya seni itu harus berhubung dan bagaimana medium seni pertunjukkan ini dapat berfungsi dalam memberi dan menerima informasi. Antara projek bersifat kemasyarakatan yang beliau telah hasilkan adalah River Art Project, 2011. Untuk seni pertunjukkan ini , Aida Redza telah bekerjasama dengan beberapa pengkarya visual yang lain seperti Lisa Foo dan Hilyati Ramli dalam menjayakannya. Karya-karya Lisa Foo yang menggunakan bahan  buangan plastik dalam susunan seni instalasi di  sekitar sungai Melaka bertindakbalas dengan seni pertunjukkan  Aida Redza dan Hilyati Ramli dalam persepsi  hubungan manusia dengan alam.   

Selain daripada itu juga, kolaborasi seni pertunjukkan bersama pengkarya yang lain dalam seni pertunjukkan “Stamp over” bersama Amir Zanorin memperlihatkan bagaimana 2 perkarya membawa satu mesej yang sama iaitu tentang isu dan cabaran kumpulan migrasi dalam menyesuaikan diri melalui budaya baru, struktur sosial dan nilai-nilai kehidupan. Seni pertunjukkan yang memakan masa ber durasi panjang ini melibatkan orang sekeliling dan ruang yang di pilih adalah di hadapan pejabat Imegresen di Copenhagen, Denmark. Melalui seni pertunjukkan ini pengkarya jelas membawa isu dan memilih ruang yang mana informasi dan mesej tepat disampaikan dalam berhubungan dengan penonton yang tepat dalam memahami dan merespon idea dari pengkarya.

Dalam persoalan keupayaan seniman yang menggunakan medium seni pertunjukkan, ini adalah antara cabaran yang perlu di tangani dalam menghasilkan karya. Hubungan karya , pengkarya dan sekitarnya adalah memainkan peranan karya yang disampaikan.Jangkaan tindakbalas sebelum,sewaktu dan selepas aksi seni pertunjukkan juga perlu diambil kira dalam melihat sejauh mana pemikiran kritis dapat di kongsi dengan penonton dan masyarakat.

Saya melihat kepelbagaian dan menyokong kebebasan melontarkan pandangan yang bersifat positif ini sebagai  satu inisiatif  sistem  demokrasi yang  kita cuba dipraktikkan dalam membentuk sebuah negara yang  menuju kearah pertumbuhan kebudayaan dan tamadun manusia.
Antara kita sedar ataupun tidak, pemikiran manusia dan praktiknya yang bersifat organik dan sentiasa tumbuh dalam pembaharuan dan ianya memerlukan ruang  dan sekeliling yang dapat menyokong pertumbuhan pemikiran dan daya praktik ini supaya ianya dapat memberi kesan yang sempurna pada masa yang akan datang.

Salut kepada rakan-rakan seni pertunjukkan yang lain juga,ekspresi tubuh kalian tanpa ada nilai yang boleh dipegang tapi akan diingat di kepala sampai mati! 



* telah disiarkan dalam majalah senikini #16