‘Seni dan masyarakat berpunca dari
kaitan manusia dan alam sekitarnya. Manusia dapat mengenali diri melalui
karya-karya seni dengan menghidupkan getaran dalam sanubarinya.
Petikan dari
catalog ‘Pameran Balai Seni Lukis Negara’ Datuk Syed Ahmad Jamal, Ketua
Pengarah, 1988.
Dari petikan
diatas, kepelbagaian medium untuk menyuarakan pendapat dan ekspresi seni memperlihatkan perbezaan rasa percaya dalam
cara penyampaian masing-masing. Walaupun ianya adalah kepada satu tujuan yang sama, iaitu memberi dan menyampaikan sesuatu yang
ingin dikongsi, bertindak balas kepada ruang sekeliling ataupun ianya adalah bertujuan
dengan agenda-agenda tertentu.
Cara berekspresi dalam seni dengan menggunakan medium atau
bahan yang diperlihatkan secara langsung (live) contohnya sebahagian
tubuh,suara dan ekspresi telah banyak di gunakan pakai di kalangan
pengkarya seni sejak dari dahulu lagi.
Penyaluran
idea secara terus dari pengkarya kepada penonton kadang-kadang memberi cabaran,
bantahan dan perbezaan pendapat melalui dialog yang sebegini.Ini adalah mungkin
kerana komunikasi secara terus ini adalah perkara yang paling hampir dan
mempunyai kefahaman juga intepertasi dari pelbagai sudut yang berbeza dalam
kehidupan. Contohnya pendapat pengkaryaan yang disalah takfirkan dan
dimanipulasi dari sudut kepercayaan dan agama, ataupun sensitiviti kaum,
politik dan juga sudut psikologi itu sendiri. Malah dari perkara-perkara
sebegini, ianya tidak boleh dijadikan alasan untuk pengkarya seni pertunjukan
untuk taboo dan menolak rasa hormat serta bertimbang rasa dalam menghadapi
masyarakat seni.
Disinilah kita dapat melihat bagaimana kajian
dalam memahami masa dan ruang amat penting. Tanggungjawab oleh pembuat karya
dalam jangkaan tindakbalas dari penonton haruslah di ambilberat dan sejauh mana karya itu akan memberi impak
dalam masa terdekat ataupun jangkamasa yang panjang.
Persoalan
yang selalu diajukan adalah bagaimana medium dalam seni pertunjukkan(
performance art) ini ingin di ambil sebagai sebahagian nilai (value) karya seni
? Contohnya penonton boleh mengingati warna –warna ekspresi pada kanvas tetapi
untuk karya seni apakah idea dan isu itu datang dahulu ataupun aksi yang
terjadi pada ketika itu?
Disini ingin saya berkongsi serba sedikit
tentang Aida Redza.Salah seorang pengkarya seni yang dilihat dalam medium yang
berbeza dalam konteks seni visual yang luas. Walaupun latar belakang displin
tarinya adalah formal dari tarian moden dan tradisional melihat gerak tubuhnya
di setiap persembahan ada reaksi dan sentuhan tersendiri dan kadangkala berlaku
secara spontan, menggunakan bahan dan prop yang memberi tanda (sign) tertentu,
mimik muka dan suara yang bertindakbalas pada ruang itu sendiri. Dan ianya
penuh dengan emosi dan suara tubuh itu sendiri!
Penglibatan
hampir 15 tahun ini digunakan oleh Aida sebaik mungkin untuk berkarya secara
solo, berkumpulan mahupun menjalankan aktiviti bengkel dengan komuniti dan masyarakat. Kelebihan
memahami gerak tubuh melalui tarian mungkin menjadi satu kelebihan buat beliau
dan menurut Aida juga beliau percaya struktur biologikal seseorang
memainkan peranan dan mempengaruhi setiap ekspresi yang cuba disampaikan. Serta
menjadi seorang ibu kepada 2 orang anak, dan refleksi kehidupan sebenar banyak
menjadi inspirasi kepada Aida Redza.
Selain
daripada itu juga Aida Redza meletakkan medium seni pertunjukan yang mana tubuh
adalah suara yang selalu dilontarkan dalam bertindakbalas memberi pendapat
dan harapan.
Antara karya
solo seni pertunjukkan beliau yang merespon kepada situasi dan kritikan sosial
adalah “Jadi-an Solo In Vision2020” pada
2007 di Copenhagen, Denmark, “
Sculpturer “ pada 2005 di Rotterdam Dance Art Academy, Feast Of Fool” pada 2004 di Denmark, “Stirrings” pada 2002 di Performing Studio, Pulau Pinang.
Aida Redza percaya seni itu harus berhubung
dan bagaimana medium seni pertunjukkan ini dapat berfungsi dalam memberi dan
menerima informasi. Antara projek bersifat kemasyarakatan yang beliau telah
hasilkan adalah River Art Project, 2011. Untuk seni pertunjukkan ini , Aida Redza
telah bekerjasama dengan beberapa pengkarya visual yang lain seperti Lisa Foo
dan Hilyati Ramli dalam menjayakannya. Karya-karya Lisa Foo yang menggunakan
bahan buangan plastik dalam susunan seni
instalasi di sekitar sungai Melaka
bertindakbalas dengan seni pertunjukkan
Aida Redza dan Hilyati Ramli dalam persepsi hubungan manusia dengan alam.
Selain
daripada itu juga, kolaborasi seni pertunjukkan bersama pengkarya yang lain
dalam seni pertunjukkan “Stamp over” bersama Amir Zanorin memperlihatkan bagaimana
2 perkarya membawa satu mesej yang sama iaitu tentang isu dan cabaran kumpulan migrasi dalam menyesuaikan diri melalui budaya
baru, struktur sosial dan nilai-nilai kehidupan. Seni pertunjukkan yang memakan masa
ber durasi panjang ini melibatkan orang sekeliling dan ruang yang di pilih
adalah di hadapan pejabat Imegresen di Copenhagen, Denmark. Melalui seni
pertunjukkan ini pengkarya jelas membawa isu dan memilih ruang yang mana
informasi dan mesej tepat disampaikan dalam berhubungan dengan penonton yang
tepat dalam memahami dan merespon idea dari pengkarya.
Dalam persoalan
keupayaan seniman yang menggunakan medium seni pertunjukkan, ini adalah antara
cabaran yang perlu di tangani dalam menghasilkan karya. Hubungan karya ,
pengkarya dan sekitarnya adalah memainkan peranan karya yang
disampaikan.Jangkaan tindakbalas sebelum,sewaktu dan selepas aksi seni
pertunjukkan juga perlu diambil kira dalam melihat sejauh mana pemikiran kritis
dapat di kongsi dengan penonton dan masyarakat.
Saya melihat
kepelbagaian dan menyokong kebebasan melontarkan pandangan yang bersifat
positif ini sebagai satu inisiatif sistem
demokrasi yang kita cuba
dipraktikkan dalam membentuk sebuah negara yang
menuju kearah pertumbuhan kebudayaan dan tamadun manusia.
Antara kita
sedar ataupun tidak, pemikiran manusia dan praktiknya yang bersifat organik dan
sentiasa tumbuh dalam pembaharuan dan ianya memerlukan ruang dan sekeliling yang dapat menyokong
pertumbuhan pemikiran dan daya praktik ini supaya ianya dapat memberi kesan
yang sempurna pada masa yang akan datang.
Salut kepada
rakan-rakan seni pertunjukkan yang lain juga,ekspresi tubuh kalian tanpa ada
nilai yang boleh dipegang tapi akan diingat di kepala sampai mati!
* telah disiarkan dalam majalah senikini #16
No comments:
Post a Comment