Langit kita tetap biru.

 # penulisan ini ditulis pada Januari 2021. Setelah pulang dari residensi seni di kota Milan. Dokumentasi ingatan dan pandangan seni laku dan isu kekinian ketika itu.Juga cerminan pengalaman yang telah dialami. 

 Langit kita tetap biru.



Sudah hampir 14 tahun saya dan tubuh ini telah mempraktiskan seni laku  - performance art dalam mengespresikan seni dan suara. Ianya masih baru buat saya tetapi saya percaya medium seni boleh menjadi penghubung yang baik dalam praktik seni dan berkongsi makna sesuatu karya. Malah seni laku -performance art ini juga bukanlah satu medium yang familiar untuk di praktikkan di sini. Hidupnya asing. Memang tidak dinafikan ianya bukanlah satu praktis yang baru, dari semenjak 70 an hingga kini ada pengkarya seni yang menghasilkan karya dengan menggunakan medium seni laku -performance art tetapi untuk di kenal pasti menjadi salah satu medium dalam seni visual, ianya masih memerlukan masa. Dan selain masa, pengkarya seni sendiri perlu berkenalan lebih rapat dan  dan lebih banyak praktis nya untuk masyarakat mendekati medium ini. 


Diantara pensejarahan seni laku yang pernah berlangsung dan saya melihatnya adalah penting dalam rentetan pensejarahan dokumentasi medium ini adalah dari pameran Warbox Lalang Killingtools. Aksi pengkarya Wong Hoy Cheong dalam menanam lalang di ruang hadapan Balai Seni pada ketika itu dan memotongnya pada 27 Oktober 1994. Selain dari pengkarya merespon kepada isu dan situasi politik pada ketika itu , fungsi estetik tentang gubahan taman turut diperkatakan dalam pengolahan karya. Instalasi awam yang tidak secara langsung turut di hasilkan. Malah perspektif dan informasi yang sampai kepada penonton adalah berdasarkan pengalaman masing-masing.  Istimewanya seni laku-performance art, kebarangkalian untuk berlangsung bukan sahaja diruang galeri atau secara formal. Seni ini datang kepada penonton, dan kadangkala Ianya interaktif bersama ruang dan keadaan sekeliling. Mungkin ada kalanya ianya tampak provokatif atau asing, tetapi seni laku boleh diadaptasi mengikut kesesuaian masa dan yang paling penting, pengkarya seni laku harus jelas apa yang ingin disampaikan dan bertanggungjawab. Pengkarya harus memahami dan mengenal penonton. Ini kerana medium ini tidak kekal diruang aksi, tetapi pengalaman dan rakaman akan kekal untuk dilihat sebagai karya seni.


Dengan pengalaman yang ada, kali ini saya telah di terima untuk menyertai residensi di Kota Milan. Jemputan dari GLUCK50 iaitu satu ruang seni dan budaya multi-fungsi yang menjemput pengkarya tempatan dan antarabangsa yang terletak di Kota milan. Jemputan singkat selama sebulan ini memberi ruang kepada saya untuk menghasilkan satu karya yang baru dan dalam masa yang sama berkongsi  pengalaman dalam praktikaliti seni laku-performance art yang pernah berlangsung. Dalam ruang yang lengkap dengan tempat tinggal, ruang berpameran dan perbincangan, aktiviti dan program yang di rancang berjalan dengan baik sekali. Lawatan lawatan ke galeri-galeri seni, studio pengkarya dan lawatan ke beberapa festival dan makan malam memberi satu pengalaman yang berbeza. Malah ketika aktiviti perkongsian karya yang telah saya lakukan sebelum ini dibuat, ada pelbagai persoalan dan pandangan di kongsi bersama.   Sokongan antarabangsa ini banyak memberikan saya inspirasi dan semangat dalam berkarya dalam seni dan pengalaman ini membuka lagi perspektif saya berkenaan seni laku -performance art. Malah aprasiasi turut saya terima dari CENDANA dalam memberikan dana yang membantu sedikit sebanyak dalam melancarkan aktiviti yang telah disusun. 


Satu pengalaman yang baru jika dibandingkan dengan penyertaan festival atau acara-acara seni laku  yang pernah di sertai sebelum ini. Untuk pengalaman kali ini, berita baik perubahan kerajaan baru di tanahair saya bawa sekali. Inisiatif ini adalah berlanjutan dari projek SEMUKA ( face to face) yang telah saya mulai pada 2016. SEMUKA yang membawa makna satu dialog yang dalam ruang sebenar dan mencipta satu dialog seni. Projek pertama SEMUKA  sebelum ini telah menjemput pengkarya yang pernah terlibat dalam pengkarya Seni Laku ; Sharon Chin dalam berkongsi pengalaman karya  - Mandi Bunga yang telah berlangsung pada 2013 di Biennale di Singapura. Perkongsian ini telah berlangsung di ruang alternatif KBU (Kelab Bangsa Utama) dan sedikit sebanyak ianya penting dalam berkongsi pengalaman dan melihat karya seni dalam satu perspektif yang lebih umum. Selain dari itu juga SEMUKA pernah menjemput Dr Sarena Abdullah dalam berkongsi pengalaman dan intelek dalam pensejarahan dan melihat dari sudut akademik dalam memahami dan mengetahui pensejarahan seni dan bagaimana keberadaan seni laku dalam sejarah seni kita. Melalui perkongsian yang telah dibuat, sememangnya pendedahan ini adalah terus kepada masyarakat awam dan bukan hanya semata-mata untuk mereka yang di ruang seni sahaja. Malah secara amalinya juga -seni laku itu sendiri bersifat awam. Kebarangkalian untuk melalui praktis interaktif adalah besar untuk berlangsung. 


Keterlibatan penonton selalunya menjadi subjek dalam berkarya. Maka, untuk memahami seni laku memerlukan keberadaan di ruang sebenar dalam berhubungan dengan pengalaman yang dibawa. Seni itu lebih menjadi mudah dan keterbukaan. Seni itu lebih merakyat, malah kadangkala seni laku itu sendiri kadangkala hanya menjadi satu proses alasan yang akan melahirkan medium karya yang seterusnya. Sepertinya dari seni laku- akan terhasilkan satu instalasi yang melalui satu proses secara langsung, aksi pengkarya dan penonton boleh dirakamkan dalam medium foto dan video yang lebih berjiwa dan spontan malah lakaran dan warna yang terhasil benar-benar reflek ruang dan masa sebenar. Transisi perspektif seni laku yang mungkin akan memberi impak yang berbeza dalam pasaran seni. Dengan persaingan teknologi dan teknikal, saya melihat keberadaan pengkarya dalam merakam proses dan hasil karya boleh meletakkan nilai karya dengan cara yang tersendiri. Malah persepsi koleksi dan arkib dari luar negara kini melihat seni laku-performance art adalah diantara medium seni yang penting untuk diposisikan dalam catatan dokumentasi sejarah seni kini.

 

 Untuk residensi di Gluck50  di Milan Italy kali ini , projek SEMUKA membawakan satu seni laku-performance art secara interaktif dengan penonton disana. Dalam masa yang ada sebelum  berlangsung acara, saya cuba memahami ruang dan suasana disana. ‘Meraikan’ adalah aktiviti yang saya cuba hasilkan dan dalam masa yang sama meyampaikan makna karya.   Semuka | Faccia a faccia : Bendera | Bandiera adalah satu karya baru yang dihasilkan untuk residensi kali ini. Saya menggunakan subjek bendera dalam seni laku kali ini. Dalam melihat bendera adalah sebagai satu simbolik perwakilan diri , sesebuah kumpulan manusia ataupun sesuatu idea atau prinsip. Saya menggunakan prosa kata bendera dalam tajuk karya dan saya mendapati  bahasa Itali  menggunakan kata Bandiera untuk makna yang sama.   

Pengalaman pilihanraya lepas dalam pertukaran pemerintahan adalah satu rakaman sejarah yang masih saya ingati. Peluang dalam bertugas sebagai salah seorang pegawai dalam Suruhanjaya pilihanraya lepas memberi saya peluang untuk mengetahui proses pilihanraya yang telah berlangsung. Suasana dan situasi pada ketika itu adalah menjadi imajan karya yang saya hasilkan. Kelihatan kibaran bendera parti-parti politik disekitar bandaraya dilihat dalam persektif yang berbeza ketika keputusan pilihanraya diumumkan. Malam selepas keputusan pilihanraya, saya mengambil keputusan mengajak kawan-kawan mengutip cebisan bendera-bendera yang masih ada di sekitar bandaraya.  Dengan imej dan bendera yang berbeza ini, saya merasakan rakaman sejarah ini perlu diraikan dan dirakamkan dalam karya seterusnya. 



Semuka | Faccia a faccia : Bendera | Bandiera adalah satu dialog seni dengan penonton dalam memahami dan memaknai bendera dalam konteks dan suasana yang berbeza. Untuk kali ini, saya mengambil peluang menghasilkan satu karya baru dan dalam masa yang sama berkongsi pendangan tentang pertukaran kerajaan yang berlaku dalam institusi pemerintahan negara Malaysia setelah 61 tahun dan kini membentuk satu kerajaan yang baharu. Satu karya interaktif dengan instalasi 200 susunan keratan kain  dengan tangkaian bunga mawar mengajak penonton memilih bendera sendiri dalam perspektif masing-masing. Karya seni laku yang berlangsung hampir 30 minit ini dimulai dengan ritual cuci tangan saya bersama penonton yang datang. Saya menjemput setiap seorang mencuci tangan dengan air bunga mawar yang di letakkan didalam bekas besi. Suasana SEMUKA ini penting untuk saya mulai dalam karya ini dalam memberi pengenalan karya. Mengenali setiap susuk yang hadir di ruang karya, aktiviti yang bagi saya mempunyai nilai intimasi dan personal. Dan proses ini, ada aksi yang  telah berlangsung, kami bersemuka, bersalaman dan tersenyum sahaja yang mana kadangkala komunikasi selalu menjadi tembok untuk berdialog, malah dengan seni laku, tembok ini selalu sahaja saya pecahkan. Ada barisan panjang yang menanti untuk kami terus bersemuka.Malah yang hadir pada acara ini, dari seorang tua yang membantu saya menjahit persiapan bendera sehinggalah ibu bersama anak lelaki, gadis, anak muda, malah ada seekor anjing yang tidak pernah merasa asing dalam kumpulan manusia yang meraikan kehidupan.


Sementara itu, dalam ruang pameran pula, karya installasi bendera-bendera kecil bersama tangkaian mawar tersusun di lantai pameran, satu karya video seni laku yang pernah saya hasilkan - $candal- Makan Duit yang turut pasangkan dalam menjadi refleksi karya terkini yang dihasilkan. Karya $candal- Makan Duit adalah satu karya yang diaksikan pada tahun 2010. berlangsung di ruang Lost Generation dalam pameran ‘Crossover/Lintasan’ yang telah di kurasikan Oleh Sandra Krich. Karya ini adalah  terhasil  dengan merespon berita skandal kewangan  terbesar yang berlaku di Malaysia pada ketika itu.  Dalam proses pengkaryaan yang telah berlangsung, saya mengajak penonton melakar dan menandai bendera masing menggunakan pewarna hitam.  Dalam proses melakar ini, pelbagai simbolik dilukis pada bendera masing-masing dan disetiap tangan penonton saya dapat melihat tanda hitam pada jari telunjuk hasil dari melukis tanpa berus dan secara spontan.


Manakala pada bendera utama yang saya cipta dari sambungan perca-perca bendera parti -parti politik ini, saya telah menuliskan satu perkataan -


AFTERMATH.


Dan akhirnya ribut itu berlalu dan langit tetap berwarna biru. Cerah. Moga awan larat, ribut dan hujan lebat dapat kita hadapi bersama. Mencipta ruang demokrasi dalam bersuara, cinta mengiringi untuk perkara yang lebih baik untuk seni Malaysia. Harapan bukan lagi angan-angan kosong, tapi Harapan kini adalah yang kita  sama-sama untuk lebih progresif!  


intan rafiza.


Comments