Tuesday, May 10, 2011

BUKA JALAN:ANTARA RUANG DAN IDEA.




BUKA JALAN:ANTARA RUANG DAN IDEA.

Kalungan bunga melor dari Buka Kolektif kepada Ketua Pengarah Balai Seni Lukis Negara, Ambassador Dato’ Mohd Yusof Ahmad telah memberi tanda bermulanya 3 hari festival Seni Pertunjukkan Peringkat Antara bangsa-Buka Jalan(International Performance Art Festival) ini berlangsung.

Festival pertama seni pertunjukkan antarabangsa ini telah memberi ruang kepada trio anak muda yang bersemangat untuk berkongsi bersama 16 orang pengkarya antarabangsa dalam ruang Balai Seni Lukis Negara.

Sharon Chin, Rahmat Haron dan Poodien adalah individu yang bertanggungjawab dalam menjayakan festival ini yang mana mereka berkerja keras untuk mempersembahkan seni pertunjukkan yang lebih kepada mendidik masyarakat dalam pelbagai lapisan dalam mengetengahkan medium baru berkarya dalam ruang Balai Seni Lukis Negara yang mana sebelum ini ruang kesenian ini di kongsi dalam acara pameran seni catan,arca, dan instalasi.

Ada yang bertanya mengapa seni pertunjukkan ini penting di ruang seni visual? Mengapa tidak di ruang teater atau di pentas tertentu? Sensitif kah para pengkarya visual apabila karya mereka di respon oleh pengkarya seni pertunjukkan dan apa pentingnya ruang itu sendiri kepada masyarakat dan penonton seni selain daripada karya yang digantungkan di dinding galeri atau di sebahagian sudut?

Performance Art . Satu istilah asing sekiranya di garap dalam bahasa melayu sendiri.Ada yang memanggilnya seni persembahan dan juga di panggil seni pertunjukkan.Saya lebih selesa sekiranya di panggil dengan perkataan seni pertunjukkan.Yang mana festival seni pertunjukkan yang telah berlaku ini adalah sangat berbeza dengan seni teater, seni tarian ataupun seni muzik itu sendiri.

Penggerak dan atau istilah pengkarya yang beraksi adalah kebanyakkannya terdiri dari pengkarya seni visual,professor literal seni ataupun latar belakang yang berbeza dan menggunakan element dan prinsip seni visual tetapi dalam seni pertunjukkan yang bersifat secara langsung. Yang mana pengkarya merespon dan menggunakan ruang, prop,penonton, atau bahasa tubuh dalam menyampaikan idea dan isu penterjemahan karya masing –masing dan di sini terjadi lah satu proses apresiasi seni diantara pengkarya dan penonton.

Dalam proses menikmati kesenian tanpa ada proses jual beli,selalunya impak seni pertunjukkan lebih kepada rasa emosi seperti lucu,ngeri, mengejutkan ataupun simpati .Tetapi sensitiviti dan kreativiti pengkarya sangat penting dalam mengadaptasikan ruang yang berbeza dalam mengolah isu ataupun idea.

Maka, setelah berlangsung dua hari perjalanan seni pertunjukkan, tindak balas penonton, penulis, pengkarya seni yang lain adalah berbeza-beza.Apa yang ingin saya berkongsi untuk catatan kali ini adalah tentang bagaimana pengkarya seni pertunjukkan in yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,pegangan, dan kebudayaan telah bertindak balas dan merespon pada 4 elemen alam seperti tanah ,air, api dan angin dan juga ada yang bertindakbalas kepada dasar kekuatan tindakbalas alam iaitu graviti dan jarak ruang itu sendiri.

Dengan persoalan MENGAPA kepada pengkarya untuk tindak balas ruang di luar atau di dalam Balai Seni Lukis Negara. Soalan MENGAPA ini berharap dapat kita berkongsi bagaimana alam semulajadi telah memberi cerminan untuk pengkarya sendiri,idea atau isu yang di lakukan. Alam dan ruang sedia ada ini digunakan sebaik mungkin oleh pengkarya dalam menghubungkan seni dan penonton dalam medium seni pertunjukkan kali ini.

Untuk aksi pertama, Aisyah Baharuddin, seorang pelukis visual wanita, yang mulai berdialog kepada ruang air tadahan (yang mana terdapat karya Ramlan Abdullah yang bertajuk Unity In Diversity, 2000)

Di mana Aisyah memakai pakaian kalis hujan dan mulai merendam pakaian.Dan berhampiran ruang tadahan itu beliau mulai menjemur pakaian yang telah dibasahinya itu. Karya yang bertajuk “Berulang” ini telah di perlihatkan hampir 10 minit.

Apa yang boleh saya katakan,dalam karya ini, saya melihat seorang individu yang melindungi diri sendiri dengan pakaian kalis air dan dalam masa yang sama individu ini melakukan satu proses membasahi kesemua pakaian-pakaian lain. Sama lah seperti keadaan dimana individu ataupun kumpulan tertentu yang cuba melindungi diri dari sesuatu keadaan tetapi dalam masa yang sama telah melakukan sesuatu yang berlawanan dari prinsipal yang cuba mereka lindungi pada diri mereka sendiri.

Apakah beliau ingin menyampaikan tentang bagaimana prinsip atau ego manusia itu kadang-kadang di tawan oleh masa dan ruang? Melindungi diri atas sebab-sebab tertentu dan mengorbankan kumpulan majoriti untuk kepentingan diri. Dan bagi pendapat saya, sekiranya keadaan itu di gunakan dengan keadaan suasana, ia samalah seperti seorang tentera yang memakai pakaian kalis peluru, berperang, melindungi diri dari terbunuh atau terluka dan dalam masa yang sama menyerang pihak lawan secara konsisten.Seperti jemuran pakaian basah yang bertujuan mencuci untuk dipakai semula dan disusun secara teratur, berulang dan konsisten.

Melihat kepada unsur alam yang lain seperti tanah, Eric Scott Nelson,seorang pengkarya seni pertunjukkan yang berasal dari Amerika Syarikat dan kini menetap di Korea telah merespon dengan tanah dalam karya beliau kali ini.Yang mana karya-karya seni pertunjukkan beliau sebelumnya adalah tentang penglibatan Eric Nelson dalam penjelajahan hubungan sesuatu tempat, komunikasi sesama manusia, tindakan dan bahasa. Tetapi untuk kali ini, beliau bertindak balas kepada pasir-pasir halus yang berada di luar kawasan Galeri Balai Seni Lukis Negara.

“Having And Being” merupakan tajuk untuk karya Eric Nelson untuk pertama kali di Malaysia. Pengalaman pertama Eric Nelson ini, pengkarya ini cuba mengenal rupa alam,suasana dan cuaca yang berbeza. Sesi perbualan kami secara tidak formal sebelum pertunjukkan dilakukan, beliau menceritakan bagaimana suasana dan cuaca di Korea yang mempengaruhi cara hidup masyarakat disana. Keadaan sejuk yang memaksa masyarakat Seoul,Korea perlu berjalan cepat,melakukan perkara dengan cepat,kurang bercakap tetapi perlu bertindak dengan cepat untuk mengelakkan diri dari kesejukkan. Manakala dalam aksi pertunjukkan beliau yang membongkok, bergerak perlahan sambil membebani pasir di belakang badan yang saya anggap penuh dengan sindiran tersendiri. Dari penyataan sebelum dan aksi selepas itu, adakah ianya cerminan atau refleksi keadaan kita di sini yang mana cuaca yang panas dan lembab membuatkan masyarakat terlalu selesa untuk tidak bertindak cepat atau itu cuma alas an yang boleh di persalahkan? Dan sekiranya kita melihat aktiviti pekerja-pekerja buruh dari warga asing yang tidak di pengaruhi oleh cuaca dan suasana, apakah itu tidak boleh menjadi cerminan kepada bangsa atau komuniti yang kita anggap satu dan melakukan pekerjaan atau tanggungjawab itu sebagai satu amanat kepada tanah tumpah darah kita sendiri? Dalam waktu pertunjukkan ini,mungkin ada kita melihat ianya sebagai satu kebodohan seorang manusia yang boleh berdiri tetapi berangkak membawa pasir di belakang badan dan cuba bertindak memindahkan pasir dari satu tempat ke tempat yang lain.

Adakah kita mempunyai sensitiviti atau mendidik cara pemikiran kita untuk memikirkan sebab dan akibat dalam ruangan seni dan mendekatkan dengan isu dan idea semasa?Kritikal kah kita sebagai masyarakat yang mempunyai kesenian dan pegangan tersendiri dalam memikirkan hidupan dan kehidupan yang ada di sekitar kita? Berhubung kah kita dengan ruang sendiri dalam komunikasi antara satu sama lain?

Why,why,what - Paisan Plienbangchang (Thailand) –27 februari 2011, berhadapan tangga bergerak Balai Seni Lukis Negara.


Manakala unsur api yang digunakan oleh Cai Qing ( pengkarya berasal dari China dan kini menetap di Singapura) sedikit sebanyak membuat penonton terasa gemuruh untuk memikirkan apakah individu ini hilang akal untuk bermain api di ruang galeri Seni Lukis Negara?Apabila untuk permulaan pertunjukkan beliau bertindak balas terhadap graviti di ruang lingkaran tengah lobi. Dengan berpakaian dhoti ala India sambil membawa beg beroda,beliau menggulingkan badan dari atas ke bawah tanpa henti dan menolak beg pakaian beroda dalam masa yang sama. Hampir 7 minit beliau berguling mengikut tarikan graviti dan terus kearah bawah. Berakhir di ruang bawah tengah galeri, sambil berdiri beliau mengeluarkan pemetik api dan menyalakan api pada lampu kertas (tanglong) dan mengheretkan perlahan-lahan di lantai kearah ruang luar.

Pada waktu itu saya dapat melihat beberapa wajah yang gemuruh dan bersiap sedia memikirkan tindakan cepat sekiranya ada kecemasan yang berlaku. Tetapi di benak fikir saya, lelaki yang bertindak ini adalah antara orang yang terawal di Negara China dalam mengadakan seni pertunjukkan di ruang galeri peribadi dan kini bergelar professor dan kesenian di salahsatu university di Singapura. Tidak mungkin beliau hilang akal untuk melakukan kebodohan dan saya beranggapan pengkarya seni pertunjukkan senior ini lebih mengetahui tentang erti tanggungjawab kesan dan akibat. Tetapi saya turut beranggapan emosi dan gemuruh penonton berjaya di cipta dan kelegaan dan senyuman masing-masing terlihat apabila belon api kecil itu di terbangkan di ruang luar dan terus hilang dari pandangan. Tetapi perlukah penonton hanya memikulkan rasa gemuruh dan rasa takut itu hanya didalam hati tanpa ber ekspresi dan hanya berdoa di dalam hati? Mengapa tidak kita memadamkan api itu atau salah seorang dari kita meletakkan tanggungjawab pada pihak yang menguruskan acara? Apakah penonton sedar kewujudan diri mereka sendiri dalam ruang seni pertunjukkan itu dan dalam masa yang sama boleh merespon kepada karya yang sedang berlaku.

Sepertimana kita akan tersenyum atau menangis melihat seni catan,arca, seni video, seni muzik atau instalasi impak dari visual,literal atau ide yang di sampaikan. Dan apakah hubungan atau tindak balas pada seni pertunjukkan adalah sama seperti itu? Yang mana kali ini karya bermain dengan manusia hidup itu sendiri , beraksi dengan akal mereka sendiri dan dalam situasi sebenar kita diajar untuk bertindak balas dalam keadaan yang lebih kreatif dan lebih positif.

Bagi Varsha Nair pula yang bertajuk “When Two Words Fell”, yang mana beliau bersama sebuah buku bersaiz mini yang bertajuk “Laws Of Manu”(dalam bahasa sanskit adalah Mānava-Dharmaśāstra) yang bercerita tentang undang-undang dalam kelas sosial manusia. Disini beliau membaca semula bab 9, yang mana hukum manusia dalam masyarakat Hindu dahulu tentang peranan wanita dalam komuniti dan manipulasi antara gender yang berlawanan. Sebahagian keratan dari tulisan yang beliau telah merubah dan bertindak untuk membuang beberapa bahagian dengan membuat lubang-lubang kecil diatas buku itu sendiri. Beraksi menggunakan kanta pembesar untuk membaca sisa tulisan tersebut dan bertindak meniup sisa kecil buku itu ke ruang bawah galeri. Satu perlakuan visual yang tidak mengasari tetapi impak dan respon yang keras untuk sebuah sistem yang banyak terkesan dalam kelas sosial manusia itu sendiri. Kreativiti bersuara dalam menvisualkan pendapat dapat kita lihat bagaimana kumpulan kesenian boleh membebaskan diri dalam memberi pendapat tentang apa-apa isu yang mana bersesuaian dengan keadaan dan ruang.

Persembahan dari pengkarya-pengkarya lain yang turut menjayakan festival seni pertunjukkan kali ini, Jacklyn Soo (Singapura), Jumaadi (Indonesia), Padungsak Kochsomrong (Thailand), Zoncy Zon Sapal Phyu(Myanmar), Avroco Nasir (Malaysia), Akhbar @Bebe (Indonesia), Chi Too (Malaysia), Fared Ayam (Malaysia), Ray Langenbach (USA), Tan Zi Hao (Malaysia), dan Wong Eng Leong(Malaysia) yang turut memberangsangkan penonton dan ruang pada waktu itu.

Semoga ‘Buka Jalan’ dapat membuka minda dalam memberi jalan kreatif kepada komuniti dan penggiat seni dalam menggerakkan idea atau isu tanpa rasa prasangka…

Lawati laman web berikut untuk informasi lebih lanjut tentang festival ‘Buka Jalan” : http://blog.artintern.net/blogs/articleinfo/Sonnenberg/189724 - Cai Qing blog

http://bukakolektif.blogspot.com – bukakolektif blog

http://sampahseni.blogspot.com/2011/02/festival-seni-pertunjukan-antarabangsa.html - Rahmat Haron blog

http://blog.igbk.de/2011/03/15/buka-jalan-performance-event-in-kl/ - Varsha Nair blog

-intanrafiza-

#artikel ini duterbitkan untuk majalah senikini keluaran #11 yang sudah sedia untuk diedarkan.boleh didapati di ruang kaunter Balai Seni Lukis Negara.

No comments:

Post a Comment