Tuesday, July 15, 2014


DIANTARA TUHAN DAN TUBUH.

“ Sewaktu tuhan mengambil tanah dari perut bhumi, lalu  DIA mencipta sebatang tubuh tanpa jiwa, malah selepas itu ditiupkan nyawa, jiwa dan kau diberi berahi ciptaan dari rusuk kiri…”

Jeganathan Ramachanram adalah salah seorang pengkarya seni tanahair yang sudah hampir 32 tahun berkecimpung didalam dunia seni Malaysia dan antarabangsa. Sejujurnya saya tidak pernah berkomunikasi dengan beliau sebelum ini, malah menjadi pekerja seni sebagai kurator di Balai Seni Visual Negara, saya lebih kerap bersua dengan salah satu karya beliau yang menjadi koleksi tetap negara yang bertajuk ‘Fall out from the garden of life (1998)’ . Dan apabila saya diberi peluang  untuk menulis dan berkongsi pandangan tentang pameran ‘ Mirrorring the center yang mana ini adalah pameran solo beliau buat kali yang ke -10, saya merasakan ianya  satu tanda penghormatan dan peluang yang amat saya hargai.

“Terlalu ironik untuk memahami sebahagian dari nikmat yang diberikan. Manusia yang boleh menghargai cahaya apabila dia pernah berada di ruang yang sangat gelap dan hitam, enaknya makanan apabila dia mengikat perut untuk menahan lapar, kegembiraan apabila dia pernah melalui satu masa yang penuh dengan derita. Dan makna pencipta dengan memahami ciptaannya… inilah cerminan pada setiap perkara dan kejadian.” 

 Saya melihat kasih sayang.

Ganesha, Perempuan, merak kayangan, taman syurga, cahaya… adalah diantara imej yang diletakkan oleh Jeganathan dalam berkarya. Sekiranya senjata manusia untuk menyerang atau berperang adalah pisau, belati atau senapang, saya pasti dengan bersenjatakan kasih sayang dengan imej yang diutarakan  dalam karya ini cukup kuat untuk membuktikan kemanusiaan dan keamanan adalah subjek utama dalam menghasilkan karya seni beliau.

Sebagaimana dalam karya-karya di era romantism pada abad ke 18, yang mana pada waktu itu, pergerakkan seni romantik merupakan satu gerakan seni,sastera dan interlektual adalah reaksi dalam bidang kesenian kepada revolusi perindustrian dan pemberontakkan terhadap para bangsawan dalam norma-norma sosial dan politik negara. Melalui puisi dan karya seni William Blake, dapat dilihat bagaimana pada waktu itu seni dalam era romantism bertindak balas secara simbolik terhadap revolusi Perancis dan Amerika dalam menentang sistem perhambaan dalam dalam berinspirasikan rasa cinta dan kemanusiaan.

Manakala sekiranya kita melihat semula karya-karya seni oleh Jeganathan sebelum dan sehingga kini - termasuklah karangan puisi disetiap karya visual yang beliau hasilkan, naratif pada setiap jalan cerita bukanlah sekadar romantis, sensual atau bicara tentang unsur agama atau ketuhanan. Dengan berpaksikan teoritikal bagaimana sains dan agama itu bersatu, Jeganathan mempunyai daya kritis sebagai seorang pengkarya seni dalam merespon keadaan sekeliling dari sudut sosial, politik dan juga ekonomi.

Karya The guardian and the angel dan  ‘ for the new world unmasked’ adalah diantara karya yang menggunakan imej  perempuan menjadi subjek utama perletakkan komposisi dalam karya. Seperti yang dapat dilihat dalam karya “for the new world unmasked’ , Jeganathan cuba mengangkat posisi perempuan sebagai ibu kepada satu peringkat yang lebih tinggi dalam pembentukkan generasi akan datang. Dengan komposisi figura perempuan yang mengimbangi tubuh dalam keadaan terbalik dengan kedua belah tangan, nampak jelas bagaimana Jeganathan melihat dan punya pandangan tersendiri berkenaan sistem matriarkal dalam kelompok masyarakat dan sosial. Seperti mana didalam puisi beliau - …and the child suckling the mother,… not only drink milk but the very essence of life, in this world the mother no more loses her beauty, the artist lives art and the physicians saves lives…  dan diakhir perenggan puisi beliau ada menyatakan …and there she was so majestic…that my sight bowed in revence…the hen women in the silence call, woke my spirit. Melalui puisi ini, Jeganathan melihat keadaan dan status ibu dalam satu ruang yang mana disekelilingnya yang menjalani pelbagai aktiviti yang menekan dan mendesak dengan pelbagai  konflik dan aktiviti harian masyarakat. 

 
for the new world unmasked



Menurut penulisan dari ilmuwan Johann Jacob Bachofen yang mengangkat darjat ibu dalam buku beliau yang bertajuk Hak Ibu (Mother Right) , analisis Bachofen terhadap mitos-mitos dan simbol bangsa Romawi, Yunani dan Mesir yang terdahulu dari sudut struktur patriarkal dalam masyarakat melalui sejarah peradaban dunia adalah satu kefahaman baru yang mana dari pandangan beliau, peranan ibu adalah satu  permulaan yang penting pembentukkan masyarakat dan kebudayaan. Seperti mana dapat dilihat ibu menjadi ketua keluarga, pemerintah dalam struktur masyarakat dan juga dewi agung. Dan Bachofen percaya bahawasanya masyarakat matriarkal merupakan demokrasi paling awal dimana cinta dan kasih sayang dari seorang ibu merupakan salahsatu prinsip moral yang utama bermula dari melahirkan, membesarkan dan sehinggalah membentuk kelompok masyarakat dan struktur sosial. Malah dari kajian Bachofen, ibu mempunyai peranan dan prisip keibuan dalam pembentukan dan peranan kebapaan adalah berhubung dengan evolusi manusia. – kasih ibu adalah benih yang tumbuh dari setiap cinta dan altruisme (amalan mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri) dan ianya menjadi dasar kepada perkembangan humanisme universal. Ibu mencintai anak-anaknya kerana mereka adalah anak-anak bukan mereka harus memenuhi syarat tertentu dan mengharapkan sesuatu. 

Selain daripada itu juga, karya Akash Ganesha, Muruga 1, Window witihin time, dan beberapa lagi memperlihatkan dewa dewi simbolik yang membawa cahaya kepada kehidupan dan seluruh alam dalam melindungi manusia melalui penceritaan dan naratif  dari cerminan ajaran Hinduism.

Pameran Mirroring the Center oleh pengkarya Jeganathan juga membawa pendekatan berbeza kepada penonton dalam melihat karya seni  yang dihasilkan. Selain daripada imej-imej keindahan dan naratif penceritaan, warna,komposisi dan olahan garisan yang kelihatan seperti bercahaya dari sisi yang berbeza memperlihatkan bagaimana konsep cahaya yang cuba di lakarkan dalam karya seni. Cahaya yang dihasilkan dalam karya sepertinya membentuk tenaga disekeliling imej yang disusun dan secara tidak langsung ianya membawa penonton ke dalam naratif penceritaan yang seakan-akan bergerak bersama cahaya yang di hasilkan.  

Terlalu banyak ketaksuban yang tidak mungkin saya boleh kongsi bersama dalam penulisan kali ini. Tetapi walau apapun teori atau perbandingan yang mungkin boleh dijangkakan dari karya-karya seni yang Jeganathan hasilkan, saya masih merasakan satu tenaga yang mungkin digambarkan adalah segalanya tentang kemanusiaan dan rasa cinta dan kasih sayang. Seperti indahnya alunan Raga yang dimainkan dan terus mendiami jiwa.. 
intan rafiza.



No comments:

Post a Comment