# penulisan ini telah di tulis pada May 2015. Ianya menyokong hak kebebasan bersuara kaum buruh yang turun ke jalanraya pada demostrasi #kitalawan yang telah dianjurkan. Melihat gerakan rakyat kaum buruh yang turun ke jalan sebagai satu tanda rakyat telah mulai ada kesedaran dalam mengangkat hak asasi manusia dalam bebas mengutarakan pandangan dan berekspresi untuk kehidupan yang lebih baik.
Seni Melawan
1 Mei akan menjelang tidak lama lagi. Meraikan hari buruh adalah satu tarikh penting dalam mengiktiraf dan memperingati sumbangan buruh yang berusaha dalam membangunkan negara. Pengistiharan Hari Buruh sebagai cuti tahunan telah kita sambut semenjak 1972 ini adalah tanda negara Malaysia telah bersetuju dengan keputusan konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan perkara-perkara yang telah di nyatakan dengan perihal hak pekerja.
Dalam memahami dan menikmati Hari Buruh yang bukan sekadar cuti berehat, malah melihat semula sejarah Hari Buruh dan menghargai posisi sebagai pekerja adalah perspektif penting harus dipandang secara wajar. Bermula dengan gerakan kesatuan pekerja di Eropah pada abad ke 18 yang memperjuangkan hak waktu bekerja sehinggalah perkara-perkara lain yang melibatkan status kearah kebaikan kebersamaan buruh.
Menyedari situasi pembangunan negara yang sejajar dengan kesedaran hak pekerja, kepentingan Hari Buruh ini sepatutnya dipandang sebagai satu peluang yang besar buat kita semua. Menjadi tunjang negara yang membangunkan ekonomi, sosial dan politik bukanlah hanya d itangan pemimpin, tetapi ianya adalah digerakkan oleh para buruh dalam negara itu sendiri. Lihatlah sejarah yang pernah di catatkan sebelum ini, bagaimana kumpulan dan kesatuan buruh ini telah merubah pesepsi dunia perihal menjadi ruang bekerja yang lebih baik.
Malah kita lihat pula bagaimana seni itu sendiri merubah corak pemerintahan. Lihat bagaimana kuasa buruh seni telah menjadi titik tolak perubahan pemerintahan. Contohnya di Kota Gwangju, Korea iainya adalah salah satu kota yang di isytiharkan oleh UNESCO sebagai kota yang mengangkat pergerakan Demokrasi yang pernah mencatatkan sejarah perubahan keadaan sosial dan ekonomi melalui suara rakyat yang turun di jalanraya demi kebaikan dan perubahan negera mereka kini. Dan diantara pejuang hak buruh dan rakyat pada waktu itu adalah mahasiswa , pekerja seni dan pengkarya seni tempatan itu sendiri. Mereka turun ke jalanraya, membawa sepanduk dan beraksi dalam menjatuhkan pemerintahan ditaktor pada waktu itu.
Hong Song Dam adalah diantara pengkarya seni yang memperjuangkan hak rakyat pada ketika itu. Senjata beliau yang merupakan karya seni turisan kayu (woodcut) diatas kertas dan mural telah menyebabkan beliau menjadi tahanan Negara ketika pemerintahan diktaktor Chun Doo-Hwan. Aktivis seni dari pergerakan Seni minjoong ini ditahan kerana lantang mempamerkan imej-imej dan karya seni yang merespon dan menentang kuasa diktaktor pada waktu itu.
Ya, mungkin contoh diatas masih tidak cukup untuk kita semua ambil iktibar. Mungkin ada yang berfikir sejauh mana relevan cerita kuasa seni di zaman 80-an masih boleh diguna pakai pada zaman berteknologi tinggi ini. Tetapi, dalam keadaan berhadapan dengan kuasa yang di salahguna oleh pemerintah kini, kita sebagai buruh seni harus ambil melihat semula posisi seni dalam kehidupan harian. Tekanan sosial, ekonomi dan politik bukanlah masalah individu lagi. Persoalan menjalani kehidupan yang keluar daripada prinsip demokrasi adalah tanggungjawab bersama untuk kita perbetulkan. Tidak kiralah kiamat akan datang esok atau seribu tahun lagi. Dan ini bukanlah lagi untuk kita, ini adalah untuk masa depan anak anak dan negara.
Dan sebagai seorang yang buruh seni yang percaya kepada kuasa seni dalam menjadikan dunia lebih baik, Hari Buruh kali ini perlu diraikan sebaik mungkin. Persoalnya adakah kita buruh seni menyedari bahawasanya kerja seni itu sebagai satu penggerak negara? Adakah seni yang di kongsi bersama memberi kesan kepada ekonomi, politik dan sosial negara? Cerminan atau sumbangan penting? Atau hanya sekadar memenuhi masa terluang dan keterpaksaan untuk meneruskan hidup kerana tiada pilihan lain?
Sekiranya seni itu hanya dilacurkan untuk menjadi candu untuk kebahagiaan yang sementara, yang mana kini lapangan seni tampak di Malaysia kini sudah mulai bergerak ke arah yang lebih komersial, tetapi adakah buruh seni itu sendiri menyedari yang karya seni itu sendiri adalah medium yang lebih lantang dari senjata api? Sekiranya kalian merasakan dalam soal merubah kebaikkan negara bukan tugas orang seni malah tidak boleh menerima bahawasanya kalian adalah buruh seni di negara ini, maka dimana sebenarnya posisi kita?
#kitalawan untuk tahun ini bukanlah suatu yang asing buat anak muda di Malaysia. Melalui perspektif seni, #kitalawan bukan sekadar membawa agenda politik, malah kuasa turun di jalanraya kali ini dengan membawa medium seni. Ada sepanduk, prop figura, lukisan dan juga musik perihal permasalahan rakyat kini. Meraikan hari buruh kali ini yang berdepan dengan ketidakadilan pemerintahan, kita tawarkan langkah perubahan untuk masa depan negara.
Sekiranya diwaktu sekarang, kita diantara buruh seni yang gigih bergiat untuk memperjuangkan nasib sendiri, berharap agak politik dan ekonomi kita berubah tanpa campur tangan seni, ada yang lain akan ambil alih tanggungjawab ini. Kerana seni itu sudah ada dalam diri masing masing-masing dan ianya boleh jadi alat malah boleh diperalatkan.
Ayuh buruh seni! Kali ini kita turun ke jalan raya. Kita raikan 1 mei 2015 sebagai satu hari yang bermakna untuk perkembangan sejarah seni kita. Biar berus dan warna lantang untuk berada di ruang sebenar. Kali ini imej kita tidak membisu lagi, nilainya lebih dari berjuta ringgit, laungkan seni untuk rakyat. Kesaksamaan #kitalawan kita teruskan!
may2015.
No comments:
Post a Comment