Seni dalam ruang –ruang dalam seni.
#Penulisan ini telah dicatatkan pada tahun 2018 bersempena dengan satu pameran koleksi Balai Seni Negara Malaysia yang bertajuk : Tekad 6 Dekad yang bersempena 60 tahun penubuhan Balai Seni. Penulisan ini hanya menjurus kepada salah satu pembahagian kuratorial yang telah berlangsung di dalam pameran itu. Saya adalah salah seorang yang bersama-sama mengkurasikan karya koleksi terpilih yang mana ada diantaranya mempunyai campurtangan (intervention) seni pertunjukkan dengan pengolahan medium lain.
Seni dalam ruang –ruang dalam seni.
Seni Laku adalah diantara medium yang telah digunakan oleh seniman seawal 70-an lagi dalam menterjemahkan karya seni. Medium ini yang berlangsung dalam kontek seni halus selalunya menjadi satu proses utama sebelum ianya melalui beberapa persembahan karya setelah ianya selesai. Malah dari satu titik aksi ianya membentuk karya akhir yang melahirkan medium dan teknik yang pelbagai seperti foto, instalasi, lakaran dan juga catan. Melalui campurtangan ini, seni laku telah melalui satu proses penghasilan karya secara individual oleh seniman atau kolektiviti dan juga kadangkalanya ianya satu bentuk karya yang bersifat interaktif.
Menumbuh dengan Anak Alam..
Melalui pameran ini, kolektif Anak Alam adalah salah satu kumpulan seniman adalah antara seniman terawal yang dimiliki karya seni laku dalam bentuk photografi. Berdasarkan koleksi photografi yang ada, perlakuan yang dirakamkan pada gambar adalah satu aksi yang dipanggil Teater Kecil dan ianya adalah kadangkala dirancang dan juga tidak dirancang dalam mengadakan aktiviti kesenian pada waktu itu. Melalui sisipan ini juga, selain daripada seni laku itu sendiri yang telah berlaku di ruang awam, terdapat beberapa imajan seni graffiti dan mural telahpun ada di Malaysia pada waktu itu.
Mencantas rumpai lalang kepada skintrilogy…
Pada 1994, Taman Radikal oleh Wong Hoy Cheong adalah satu laku Seni Laku yang telah berlangsung di ruang Balai Seni Negara. Pameran War Box Lalang Killing Tools yang telah mengenengahkan 3 pengkarya utama yang menterjemahkan karya melalui beberapa topik kritikan sosial. Ini telah berlangsung di Creative Centre , Balai Seni Lukis Negara, di Hotel Majestic yang mana Wong Hoy Cheong menghasilkan satu installasi kebun rumpai lalang di ruang hadapan bangunan. Proses instalasi ini diakhiri dengan memusnahkan rumpai lalang pada 27 Oktober 1994 dalam merespon kepada tindakan dan impak dari Operasi Lalang yang telah dijalan kan pada 1987 di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tanpa perbicaraan mahkamah. Karya ‘Taman Radikal’ ini yang sarat membawa definisi ketika itu sedikit sebanyak memperlihatkan bagaimana pengkarya Wong Hoy Cheong meletakkan diri bukan sahaja sebagai seniman yang merakam sejarah, tetapi membawa isu semasa dan kemanusiaan dalam bentuk aktivism.
Malah setahun selepas itu, kerjasama yang baik telah diantara Five Art Centre dan Balai Seni Negara sekali lagi telah menjayakan lagi acara persembahan dan seni laku. ‘Skintrilogy’ adalah satu produksi seni dalam perspektif tentang masa depan Malaysia, acara ini melibatkan karya seni persembahan, muzik dan juga seni visual. Acara ini yang telah berlangsung selama 3 bulan dari Februari – April 1995 di Balai Seni Negara, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur. Karya Skin Trilogy adalah hasil arahan dari KS Maniam di sekitar tahun 1991-1994 yang menyatukan peristiwa epic and pensejarahan Malaysia pada masa itu. Inspirasi semenjak dari tahun 1986 yang mana beliau ingin melihat – alam semesta dalam manusia dan bukan hanya manusia di alam semesta dalam menerokai makna sempadan diri, budaya dan warganegara. Melihat kepada soalan yang lebih besar dan tindakbalas kepada isu keganasan yang berlaku dalam bentuk fizikal, sosial, budaya, politik, ideologi dan bahkan rohani. Skin Trilogy adalah satu seni persembahan dalam terjemahan seni laku yang menolak perancangan konvensional , penglibatan medium seni yang berbeza dan membawa dialog seni dan interaktif dalam ruang seni sebenar.
Kerajaan Langit – Tanah, Air, Api , Angin – I’m not here nor there. I’m not here nor there adalah satu projek kerjasama yang melibatkan pengkarya seni laku tempatan dan antarabangsa dalam gabungan seni baru (new media) – seni laku, seni bunyi dan instalasi cahaya. Seni Laku yang lebih bersifat interaktif ini mengajak penonton memahami unsur alam yang di terjemahkan dalam kreativiti seni visual dan pergerakan. Acara yang telah berlangsung pada tahun 2004 ini telah di kurasi bersama oleh En Majidi Amir dan Irene Agrivine dari House of Natural Fiber - HONF (Jogjakarta) dan telah menjemput dan melibatkan pengkarya Ishii Mizuho(Jepun), Azizan Paiman, Mislina Mustaffa, Intan Rafiza & Zazlan Zeeha (Malaysia).
Selain dari kepentingan ruang itu sendiri dalam menjayakan sesuatu karya seni laku, pada 2009 karya ‘Sky Kingdom ‘ oleh Noor Azizan Rahman Paiman telah menjadi koleksi tetap negara. Karya yang telah dihasilkan pada tahu 2005 ini adalah merupakan satu karya seni laku melalui rakaman suasana dalam medium photografi dan seni instalasi. Sky Kingdom adalah tajuk karya yang diambil daripada satu peristawa berkenaan isu semasa dan sosial masyarakat yang berlaku pada tahun 2005. Tajuk karya adalah di adaptasi dari satu peristiwa yang telah membentuk satu ajaran yang mempunyai kepercayaan, amalan dan pengikutnya tersendiri. Dalam makna lain ianya juga pengkarya menyingkap makna tentang kekuasaan ‘segala perkara yang berkemungkinan’ mengenai individu yang telah ‘diturunkan’, ‘diarahkan’ dan ‘dilantik’ bagi menyelamat mahupun memusnahkan dan membuka kefahaman kepada khalayak memahami karya secara ‘phenomenology’.Menyusun semula bahagian picisan data imej dari ruang dan tempat yang berbeza, pengkarya membentuk karya seni dalam satu naratif peristiwa sosial semasa yang lebih bersifat terbuka kepada khalayak.
Kotak X-box dan buka jalan di kampung. Selain daripada menyediakan ruang berpameran dan ruang luar yang menjalankan aktiviti kesenian, Balai Seni Negara juga turut mempunyai ruang Peti Seni yang dahulunya menyediakan ruang ini untuk pengkarya menjalankan residensi secara jangkamasa pendek. Pada 2010, Amir Zainorin telah mengadakan satu karya seni laku berdurasi selama 3 hari di ruang ini. X - Box adalah tajuk seni laku dan seni instalasi oleh Amir Zainorin, satu pengkaryaan silangan disiplin mengenai budaya pop, kepenggunaan dan juga identiti. Untuk acara ini, Amir menggunakan peribahasa Melayu ' seperti katak dibawah tempurung' yang membawa makna bidalan katak adalah seperti seseorang yang sudah selesa dalam ruang kongkongan. Dengan sebab tertentu juga, bidalan katak adalah seperti takut untuk menghadapi di dunia luar kerana ketakutan diri sendiri dalam mencuba sesuatu yang baru. Dalam seni laku ini, Amir telah meniru kata bidalan dengan tinggal di dalam peti seni selama 3 hari tanpa meninggalkan ruang. Walaubagaimanapun, beliau telah dibekalkan dengan suratkabar harian dan sebuah komputer yang mana telah memberi akses untuk berhubung dengan dunia luar. Turut menjemput beberapa pengkarya iaitu; Aida Redza, Rahmat Haron, Kamal Sabran, Space Gambus Experiment,Raja Ahmad Aminullah, Ole Lillelund dan Azmi Hairuddin dalam membuat persembahan , bacaan puisi dan memainkan muzik eksperimental .
Malah perkembangan dalam menyokong seni laku Malaysia telah membuka ruang untuk kerjasama bersama kumpulan kolektif anak muda, Buka Kolektif dalam mengadakan BUKA JALAN -Festival Seni Laku Antarabangsa yang telah berlangsung selama 4 hari di ruang Balai Seni Negara Kuala Lumpur. Satu kerjasama BUKA KOLEKTIF –kolektif seniman muda Malaysia yang percaya kepada gagasan budaya yang mengangkat keterlibatan, keterbukaaan dan penyertaan ‘Seni untuk semua orang’. Di antara seniman seni laku yang telah terlibat dalam festival yang telah berlangsung adalah ; Aisyah Baharuddin (Malaysia),Avroco Nasir (Malaysia), Chi Too (Malaysia), Wong Eng Leong (Malaysia), Tey Beng Tze (Malaysia), Tan Zi Hao (Malaysia), Eric Scott Nelson (USA), Zon Sapal Phyu @ Zoncy (Myanmar), Padungsak Kochsomrong (Thailand), Varsha Nair (India / Thailand), Paisan Plienbangchang (Thailand) & Jacklyn Soo (Singapore). Festival antarabangsa ini juga bukan sahaja satu seni laku secara individual, tetapi penglibatan interaktif bersama penonton secara langsung juga turut berlaku.
Pada 2013,material yang digunakan dari karya oleh Koboi Balik Kampung oleh Niranjan Rajah telah menjadi koleksi Balai Seni Negara. Material dari sehelai kemeja putih ini menjadi saksi dalam menyingkap satu perspektif peribadi mengenai kecelaruan seni kontemporari, budaya dan kehidupan sosial masyarakat Malaysia kini. Acara seni laku ini telah berlangsung ketika lawatan pengkarya dari Vancouver , Canada ke Balai Seni Negara , Malaysia pada Julai 2013 dalam acara Rear View Forward Symposium.
Melalui pameran Tekad Enam Dekad kali ini, tidak semua karya seni Laku yang pernah berlangsung di ruang Balai Seni Negara telah di kongsi di ruang pameran. Malah kebanyakkan bahan yang dipamerkan juga adalah dapatan yang dipinjam dari pemilik individu dan juga ruang arkib luar. Ucapan terima kasih kepada Five Art Centre yang telah banyak memberi pinjaman bahan rakaman dan imajan dari katalog pameran yang telah berlangsung. Dan sekiranya dilihat semula, medium seni laku bukanlah satu yang baru dan asing dalam menghasilkan karya seni dari dahulu lagi. Sokongan dari institusi juga dalam menyediakan ruang khasnya memperlihatkan seni laku adalah sebahagian medium yang bergerak dalam perkembangan seni visual. Diantara aksi dan imajan; karya berbentuk seni laku telah meletakkan nilai berbeza pada karya dari persepsi kefahaman. Melalui proses secara langsung oleh seniman ini, ianya menjadi salah satu titik penting dalam rakaman yang menjadi koleksi seni untuk rujukan masa hadapan.
intan rafiza.
Comments
Post a Comment