PEMIKIR pascamoden, Michel Foucault telah mengemukakan satu analisis tentang motif-motif tertentu pada suatu media atau teks. Intinya ialah ‘produksi kekuasaan’ tidak bertumpu pada satu titik iaitu pihak yang dominan.
Justeru titik kekuasaan tersebut tersebar di seluruh masyarakat. Produksi kekuasaan yang terjadi kemudian adalah munculnya strategi untuk menampilkan wacana menjadikan wanita sebagai objek pemasaran dan konsumerisme.
Dalam bidang seni, wanita tetap menjadi elemen yang cukup dominan sejak era Greek kuno hingga perkembangan kesenian kontemporari.
Antiphanes seorang tokoh drama komedi Greek melontarkan pendapat yang menarik; Wanita tidak akan hidup lagi setelah kematian, kecuali dibangkitkan sebagai objek seni oleh penggiat-penggiat lelaki.
Perkembangan seni tampak moden pula memperlihatkan wanita menjadi objek yang benar-benar mengundang libido khalayak (dalam hal ini bererti libido lelaki) dengan menempatkan wanita wacana yang sensual, bukan karya seni lukisnya.
Selepas Leonardo da Vincci melahirkan karya Monalisa pada abad ke-16 misalnya, pelbagai tafsiran khususnya dari aspek seksual dilontarkan - suatu stereotaip yang memang sangat merugikan wanita.
Akhirnya muncul pandangan baru di kalangan wanita untuk untuk memecah stereotaip itu sendiri dengan menemukan semangat kebebasan dalam dalam semua aspek termasuk bidang seni.
Ironisnya, pemikir Hans Georg Gadamer dalam tulisannya, Truth and Method mengatakan bahwa tidak ada peraturan seni yang bersifat universal hingga bergantung kepada penggiat seni untuk menggunakan subjek atau tema dalam karya-karya mereka.
Pandangan yang sama turut dikemukakan oleh pemikir Jerman, Immanuel Kant bahawa seni yang asli adalah seni oleh para genius yang tidak mengeksploitasi wanita sebagai subjek.
Dalam konteks perkembangan gender dan feminisme, sejak abad 17 hingga 21 gerakan telah mencapai pasang surut dan mengalami perluasan tuntutan dan agenda perjuangan yang jauh lebih rumit.
Kaum feminis menginginkan adanya suatu perubahan pandangan dalam masyarakat mengenai kedudukan wanita yang sering dianggap di bawah laki-laki.
Sehingga tercipta suatu `pengakuan’ mengenai persamaan antara laki-laki dan perempuan dalam kehidupan bermasyarakat, seni dan budaya.
Menghayati pameran lukisan solo, Intan Rafiza Abu Bakar, Pertama yang sedang berlangsung di Galeri Shah Alam, Selangor membuka ruang kepada gerakan feminisme ini secara tidak langsung.
Karya-karyanya yang tidak tertumpu kepada pendekatan, kaedah dan objek tertentu telah menyelami seluruh aspek tentang wanita, membangkitkan imej gender dan feminisme yang cukup kuat.
Konsep feminisme yang digunakan dalam pameran ini tidak mengambil mentah-mentah daripada wacana perjuangan gender dalam acuan istilah Barat.
Penggunaan bahan yang ditampilkan dengan pendekatan eksperimental diketengahkan dalam kerangka Malaysia yang ketara khususnya dalam kaedah penyampaian.
Kesemua karyanya seolah-olah menolak kehidupan seorang wanita yang selalu dihubungkan secara dikotomi dengan apa yang dianggap sebagai lembut, lemah, pasif dan pasrah. Inti daripada keadaan tersebut ialah struktur fizikal.
Dikotomi dan struktur fizikal tersebut akhirnya membawa hierarki dalam kehidupan sosial dalam pelbagai kebudayaan yang mendominasi warisan nilai-nilai di dunia sekarang ini.
Feminisme dan ideologi gender yang ‘disentuh’ oleh Intan Rafiza secara tidak langsung menolak pandangan tersebut dengan mengutarakan bahawa wanita tetap mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri dengan menguasai pelbagai bidang yang sebelum ini dimonopoli oleh lelaki.
Karya-karyanya seperti Love Me or Leave Me Alone, Terbang, Perempuan-Perempuan, Vote For Me dan Hadiah, melontarkan metafora tentang kedudukan tersebut dengan begitu baik.
Melalui karya-karya ini, beliau mengajak khalayak menyelami apa yang dikatakan penafian perbezaan gender dalam pelbagai aspek - suatu isu yang masih membelenggu golongan wanita di sesetengah negara.
Di sisi lain, Intan Rafiza tidak banyak melakukan eksperimen dalam aspek catan. Pengunaan warna yang harmoni dengan variasi sapuan membuka ruang katarsis yang cukup bermakna kepada khalayak.
Pengunaan subjek yang `berat’ diimbangi dengan penggunaan warna harmoni hingga berjaya mewujudkan kesatuan visual yang tidak terlalu membebankan khalayak.
Memang kedudukan karya-karya Intan Rafiza secara kontekstual dalam isu feminisme dan gender masih boleh dipersoalkan. Ia tidak boleh diterima tanpa melihat dan mengkaji kembali perjalanan wacana gender yang berkembang di Barat.
Ketika feminisme muncul dan mulai marak di Barat hasil daripada perubahan-perubahan sosial terutama selepas revolusi industri, muncul pertembungan antara kelas masyarakat.
Pertembungan tersebut juga melibatkan kaum wanita sebagai sebuah kelompok sosial melawan kelompok sosial yang lain iaitu kaum lelaki, dengan tujuan untuk mencapai persamaan, kesejajaran atau mungkin menggantikan posisi lelaki.
Dialektika wacana gender dan feminisme di Barat sendiri lebih terperinci dengan perkembangan teori-teori baru yang lebih terbuka mengenai masalah gender dan seksualiti yang lebih radikal.
Namun, berbeza dengan keseluruhan karya Intan Rafiza. Isu gender dan feminisme diketengahkan dalam kerangka Malaysia yang lebih tabu, tertutup dan penuh dengan pendekatan metafora.
Beliau telah meletakkan diri dan karyanya tidak hanya bergelut pada masalah wanita saja tetapi turut berhubung dengan pascamodenisme dan postrukturalisme.
Pendekatan sama banyak diutarakan oleh pelukis-pelukis feminis wanita Barat sejak 1960-an. Antaranya Carolee Scheemann, Hannah Wilke, Mary Kelly, Ana Mendieta, Marina Abramovic dan Cindy Sherman.
Kesemua pelukis tersebut banyak mengangkat isu hubungan antara gender, identiti dan penafsiran semula terhadap peranan wanita dalam masyarakat Barat pada era pascaindustri.
Begitu juga karya-karya Intan Rafiza. Ia mengetengahkan penafsiran peribadi tentang peranan, kedudukan dan hak wanita dalam konteks Malaysia mutakhir.
Sementara itu, pameran Pertama dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.